Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How yang telah menerima sijil itu berkata, acara tersebut kembali dipertandingkan setelah kesatuan berkenaan mengesahkan veldrom terbabit selamat digunakan.

"Kesemua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah mempersetujui acara tersebut dipertandingkan semula.

"Trek di veldrom telah diubah suai dan sudah diperbaiki sehingga boleh digunakan. Saya gembira dan berharap acara trek berbasikal dapat ditonjolkan sekali gus menjadi acara terbaik dalam sejarah Sukma," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Pada 3 Ogos lepas, Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill dilaporkan berkata, beliau telah ke Switzerland untuk mengambil sijil itu daripada UCI selepas kesatuan berkenaan mengesahkan velodrom tersebut mematuhi semua syarat yang ditetapkan. - Bernama