Gandingan Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi membanggakan dengan hanya mengambil masa 42 minit  untuk mencatatkan kemenangan 21-18, 21-16 ke atas pemain Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. 

Terdahulu, gandingan muda negara itu turut membuat kejutan dengan menewaskan beregu lelaki ke-11 dunia, Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan pada saingan kedua. 

Menurut laman sesawang kejohanan, www.bwfworldchampionships.com, beregu lelaki yang kini berada diranking ke-35 dunia itu jadualkan menerima cabaran lebih sengit daripada beregu lelaki kelima dunia, Li Junhui-Liu Yuchen, esok.

Gandingan China itu menunjukkan jalan keluar kepada satu lagi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada pusingan ketiga yang mana V Shem-Wee Kiong kalah 21-16, 15-21, 20-22. 

Pada perlawanan ketiga di Pusat Sukan Olimpik Nanjing hari ini, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang kini berada di ranking kesembilan dunia terpaksa berhempas pulas mengalahkan pemain England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-16, 17-21, 21-18. 

Menanti mereka di suku akhir adalah beregu campuran keempat dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet selepas pasangan Hong Kong itu menewaskan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia 21-15, 19-21, 26-24.

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur dengan keputusan 22-20, 14-21, 6-21 selepas bertungkus lumus menentang beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa.

Wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki, Liew Daren yang kini berada di ranking ke-39 dunia turut mempamerkan aksi yang konsisten apabila berjaya membenam kemaraan pemain keenam dunia, K. Srikanth dari India 21-18, 21-18 untuk bertemu pemain ke-27 dunia, Kanta Tsuneyama dari Jepun pada suku akhir. 

Nasib berbeza menimpa pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei apabila kalah kepada pemain Jepun Nozomi Okuhara 21-23, 13-21. 

Turut menerima tamparan sama adalah beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tewas kepada beregu keenam dunia dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 18-21, 13-21.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan cabaran perseorangan wanita dan beregu wanita di kejohanan itu. - Bernama