Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal mahu menghantar surat rayuan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil memohon skuad hoki lelaki negara yang muncul naib juara Sukan Asia 2018 mendapat slot automatik Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Ia disebabkan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 di Indonesia, Jepun sememang­nya layak sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Bagaimanapun, ia dijangka sukar kerana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sudah menetapkan syarat kelayakan pada 18 April lalu bahawa seandainya Jepun menjuarai Sukan Asia 2018, pemenang tempat kedua tidak akan mendapat tiket automatik Sukan Olimpik 2020.

“Memang ada dalam peraturan FIH tetapi ia bukan sesuatu yang me­rugikan kalau MHC membuat rayuan.

“Saya berpandangan benua Asia sepatutnya mendapat satu lagi slot selain Jepun yang menjadi tuan rumah. Dari mula lagi semua tahu pasukan automatik layak (ke Sukan Olimpik 2020) ialah tuan rumah dan lima juara benua.

“Enam lagi pasukan akan merebut tempat mereka pada Siri Hoki Dunia. Setiap benua sepatutnya mempunyai satu wakil selain tuan rumah.

“Seperti Liga Hoki Du­nia sebelum ini, seandainya juara benua layak, maka tempat itu akan diambil oleh pasukan lain yang berada di belakang mereka,” kata Mirnawan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malaysian Tigers terpaksa melalui jalan berliku untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020, sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun sejak kali terakhir­ beraksi pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen perlu muncul juara atau naib juara pada Final Siri Hoki Dunia yang akan diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 23 April hingga 1 Mei tahun depan.

Ia bagi membolehkan skuad negara layak ke pusingan kelayakan terakhir dengan menentang lawan berdasarkan undian ran­king dalam format timbal balik pada November 2019.

Lawan yang berkemungkinan besar bakal dihadapi Malaysian Tigers, No. 12 dunia, pada pusingan kelayakan terakhir adalah pasukan dalam kelompok 14 terbaik dunia seperti Belgium, India, Jerman, England, Sepanyol, New Zealand, Ireland, Kanada, Pakistan dan Korea Selatan.