Norza menang tanpa bertan­ding dan terpilih sebagai Pre­siden baharu MOM untuk sesi 2018-2021 bagi menggantikan Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatannya itu yang telah dipegang hampir 20 tahun.

“Saya tidak akan lepaskan jawatan dalam BAM kerana kalau kita tengok hala tuju menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, sukan badminton adalah sangat penting untuk membantu kontinjen negara. Diharapkan menerusi kepimpinan saya dalam BAM dan MOM, saya lebih mengetahui bagaimana untuk menguruskan skuad badminton dengan lebih baik.

“Kalau tengok sejarah Pre­siden MOM sebelum ini, Tunku Imran turut memimpin MOM ketika beliau mengendalikan Persatuan Kriket Malaysia selama 10 tahun. Jadi buat masa sekarang, saya rasa ia masih boleh diuruskan,” katanya selepas sesi pemilihan pucuk pimpinan MOM pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-37 di MOM, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai kepimpinan baharu MOM, Norza bangga dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh perwakilan sukan kepada dua pemimpin wanita iaitu Datuk Mumtaz Jaffar dan Profesor Datuk S. Shamala yang dipilih sebagai Naib Presiden.

Katanya, sebelum ini MOM menetapkan sekurang-kurang­nya satu kuota pemimpin wanita bagi jawatan tersebut, namun pada pemilihan kali ini terbukti pemimpin wanita telah diiktiraf dalam sukan negara.

Norza yang juga merupakan Presiden kelima MOM turut me­ngucapkan terima kasih kepada Tunku Imran dan Datuk Sieh Kok Chi atas usaha yang dilakukan selama ini dalam menaikkan nama MOM di peringkat antarabangsa.

Bagi jawatan Timbalan Presi­den, ia disandang oleh Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi yang menang dengan 54 undi berbanding pencabarnya Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang memperoleh 43 undi.

Lima jawatan Naib Presiden pula disandang Datuk Ong Poh Eng, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim, Mahindra Vallipuram, Mumtaz dan Shamala.

Penyandang Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo tewas tipis satu undi kepada Datuk Mohd. Nazifuddin Najib selepas meraih 49 undi berbanding Beng Choo yang mendapat 48 undi.

Nazifuddin akan dibantu dua Penolong Setiausaha Agung iaitu Chan Foong Keong dan Moira Tan Siew See, manakala jawatan Bendahari disandang Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dan dibantu Penolong Bendahari iaitu Datuk Amarjit Singh.