Cheng Hoe bukan nama asing buat peminat-peminat bola sepak tempatan kerana beliau memiliki pengalaman luas ketika menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal dan Nelo Vingada bersama pasukan kebangsaan selain membimbing pasukan Kedah memenangi Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 serta Piala Sumbangsih 2017.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Cheng Hoe mengakui beliau bersemangat untuk membantu Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim biarpun menyedari memikul tanggungjawab besar untuk memulihkan reputasi bola sepak negara.

“Pertama, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Presiden kerana memberikan kepercayaan kepada saya menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

“Saya agak terkejut, tetapi apa yang pasti, saya akan beri yang terbaik nanti.

“Saya perlukan masa untuk mengembalikan maruah pasukan kebangsaan. Mengenai perancangan (perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon pada Mac depan) masih terlalu awal ke­rana biarlah saya mengadap Tunku Pre­siden terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Harapan hanya satu, saya mahu mengembalikan semula ‘ngauman’ Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malam tadi, Hamidin mengumumkan FAM te­lah melantik bekas ketua jurulatih Kedah Cheng Hoe sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya menerusi laman sosial Facebook milik badan induk persatuan itu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memaklumkan Cheng Hoe menggantikan Vingada yang melepaskan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya kelmarin.

Vingada melepaskan jawatannya sebagai tanda bertanggungjawab di atas kemerosotan prestasi pasukan kebangsaan selepas gagal menghadirkan kejayaan apabila tewas enam kali dan seri sekali sejak dilantik oleh FAM pada Mei lalu.

Skuad negara bakal menamatkan aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon pada Mac depan sebelum bermain di kejohanan Piala AFF Suzuki yang dijangka berlangsung pada November depan.