Malah, bintang muda berusia 18 tahun, Iskandar Harun (gambar kecil) berpendapat, seandainya semangat dan kesungguhan ketika menewaskan Kedah itu dapat dikekalkan, pencapaian lebih baik boleh dibawa pulang oleh skuad Ngap Sayot itu.

“Sebenarnya kita datang ke sini tiada tekanan, sasaran awal adalah melepasi halangan kumpulan tetapi saya percaya kita boleh lakukan lebih baik daripada itu.

Kita sudah menunjukkan kekuatan mental yang cukup baik dan sikap tidak berputus asa sehingga wisel penamat untuk memastikan tiga mata dalam genggaman.

“Kalau kita kekal konsisten tidak mustahil kita boleh cipta kejutan dengan cuba mengintai tempat ke separuh akhir dan memenangi pingat,” ujar pelatih skuad kebangsaan itu kepada Kosmo! semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Sukan Tertutup Manjung kelmarin, Sarawak bimbingan Ahmad Media Sharkawi membenarkan Kedah bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 tetapi mereka mengesahkan tiga mata pada dua minit sebelum tamat permainan menerusi Mohammad Azierul Joss yang melengkapkan hatriknya.

Iskandar merupakan satu-satunya pemain Sarawak didedahkan dengan aksi Liga Futsal Kebangsaan bersama Kuantan Rangers FC berkata, mereka kini perlu mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan untuk laluan lebih mudah ke peringkat suku akhir.

“Kita sudah ada kelebihan awal tetapi belum boleh rasa selesa. Kemenangan ke atas Melaka Rabu ini cukup penting dan saya berharap kami semua akan kekal fokus dan dapat beraksi lebih baik berbanding aksi menentang Kedah.

“Sudah tentu ia bukan perlawanan mudah kerana Melaka merupakan skuad berkualiti dan antara pasukan pilihan. Mereka juga belum bermain, jadi mereka ada kelebihan dan sudah tahu cara kami bermain,” katanya.

Sebagai rekod, Sarawak memenangi pingat gangsa ketika futsal pertama kali dipertandingkan pada Sukma 2011 tetapi gagal melepasi halangan peringkat kumpulan setelah kecundang kepada Terengganu dan Kedah pada Sukma 2013.