Walaupun sudah berusia 36 tahun, namun Chong Wei dilihat masih berada pada prestasi terbaik selepas mencatat kemenangan 21-17, 21-9 ke atas pemain No. 1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, dia dilihat tidak berdepan masalah me­langkah ke peringkat separuh akhir selepas mudah menyingkirkan ­Axelsen dalam tempoh 46 minit.

Justeru, Chong Wei berharap mampu mengekalkan kecergasan pada tahap terbaik memandangkan masih mahu beraksi pada satu lagi Terbuka Malaysia serta Sukan Olimpik 2020.

“Saya tahu karier sema­kin pendek, jadi saya mahu nikmati setiap kejohanan yang disertai. Saya juga mahu menyertai Terbuka Malaysia terakhir dalam karier tahun depan sekiranya mampu mengekalkan kecergasan.

“Selain itu, saya juga mengintai peluang untuk bermain pada Sukan Olimpik Tokyo tetapi­ ia bergantung pada tahap kecergasan saya ke­tika itu. Jika kea­daan tidak meng­izinkan, saya akan berhenti (bersara),” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, bekas pemain No. 1 dunia tersebut mengakui dia langsung tidak berdepan tekanan ketika bertemu Axelsen memandangkan tiada apa perlu dirisaukan, lebih-lebih lagi turun sebagai underdog.

“Memang nampak seperti saya menang mudah tetapi ia sebenarnya satu cabaran untuk saya kerana dia turun selaku pemain No.1 dunia. Bagaimanapun, dia dilihat mudah mengaku kalah hari ini (semalam).

“Saya akan bertemu Tommy­ (Sugiarto) pada separuh akhir esok (hari ini). Walaupun tidak pernah tewas sebelum ini tetapi ia situasi berbeza, jadi saya perlu rehat dan fokus pada perlawanan tersebut,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beregu lelaki No.1 negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meng­iringi Chong Wei ke separuh akhir selepas tewas 9-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura.