Keputusan dibuat bekas beregu lelaki No. 1 dunia itu nyata tidak mengejutkan memandang­kan Wee Kiong pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan kem kebangsaan dan memilih jalan sendiri bagi memburu slot ke Sukan Olim-pik.

Meskipun sudah tidak bernaung di bawah BAM, namun V Shem menegaskan bahawa mereka masih menggalas nama negara pada setiap kejohanan selain gembira dengan keputusan meninggalkan badan induk sukan badminton negara itu.

“Saya akui kami gembira dengan keputusan yang dibuat. Selepas ini, kami akan bergerak secara profesional, namun hakikatnya kami masih lagi membawa nama Malaysia apabila bersaing pada setiap kejohanan disertai,” kata V Shem.

Bagi melancarkan serta memudahkan pergerakan apabila bergelar pemain profesional, V Shem memberitahu, mereka perlu segera mendapatkan tajaan bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan, sekali gus memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Situasi sama turut berlaku kepada beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang masih belum menemui penaja bagi mengharungi saingan 2019 selepas mengambil keputusan sama meninggalkan BAM.

“Sekarang kami perlu mencari bantuan dari segi tajaan bagi membolehkan kami menyertai kejohanan dalam tempoh dua tahun. Ia bagi membolehkan kami mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik,” ujar V Shem.

Dalam pada itu, ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Paulus Firman menyokong keputusan V Shem-Wee Kiong sekiranya ia mampu mengembalikan prestasi beregu emas negara itu ke tahap sebenar.

“Mereka juga pernah berbincang dengan saya mengenai perkara ini, jadi ia tidak terlalu mengejutkan. Saya harap mereka akan terus berjaya walaupun sudah tidak bersama BAM lagi,” katanya.