Biarpun terdapat perkhabaran bekas kapten skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan kembali menyertai Selangor musim depan, namun Sathianathan memberitahu, masih ada beberapa bekas pemain skuad Gergasi Merah lain yang layak dan kemungkinan akan beraksi di Stadium Shah Alam.

“Saya tidak kata Safiq akan kembali ke Selangor. Memang benar saya berniat membawa bekas pemain, namun ia tidak bermaksud Safiq kerana masih ada ramai lagi pemain senior lain pernah ber­aksi bersama skuad Gergasi Merah.

“Selain Safiq, masih ramai lagi pemain yang ada.

Ia termasuk Indra Putra Mahayuddin, Muhammad Shukor Adan dan Safee Sali.

“Kita perlu faham yang saya maksudkan adalah bekas pemain Selangor dan ia boleh jadi pemain lain termasuk Safiq kerana saya tetap mengalu-alukan siapa sahaja datang ke sini.

“Saya tidak mahu mendedahkan mana-mana nama buat masa ini biarpun ada perancangan ke­rana jika tidak berjaya saya juga akan malu. Saya hanya mampu menyuarakan perancangan, namun semuanya biarlah pihak pe­ngurusan yang menentukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, bekas pengendali Felda United itu menasihatkan pihak pengurusan perlu membuat keputusan dengan baik sebelum melakukan sebarang keputusan bagi mendapatkan mana-mana pemain.

“Pihak pengurusan perlu mendapatkan pemain yang sesuai dengan pasukan, terutamanya berkaitan soal gaji.

“Kita perlu lihat dengan kemampuan kewangan pasukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan mana-mana pemain. Jangan main ambil saja nanti kemudian hari tidak mampu bayar,” katanya.