Biarpun hanya sempat menjalani latihan selama dua jam setengah bersama rakan-rakan sepasukan se­belum berlepas ke Colombo, Sri Lanka malam tadi, namun pemain berusia 27 tahun itu melahirkan rasa teruja­nya berada dalam kem Malaysia.

Sumareh berkata, apa yang menjadi keutamaannya masa ini adalah pasukan negara dan berjanji membalas kepercayaan diberi selain sentia­sa berusaha memberikan yang terbaik untuk Harimau Malaya.

“Walaupun sedikit kepenatan, sa­ya gembira berada di sini. Semua pemain, barisan kejurulatihan meng­alu-alukan kedatangan dan mereka menerima saya dengan baik.

“Mereka menerima saya seperti pemain tempatan lain. Saya langsung tidak fikir seperti orang asing, malah sudah merasakan sama seperti rakan-rakan sepasukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Hang Tuah, Melaka semalam.

Pemain sayap Pahang itu berkata, beliau mahu bekerja keras untuk memastikan kecergasannya berada pada tahap terbaik terlebih dahulu, namun bersedia untuk membantu pasukan negara mengharungi perlawanan dalam siri persahabatan.

Katanya, walaupun menyedari men­jadi perhatian rakyat Malaysia dan pengamal media selepas me­ne­­rima panggilan skuad kebangsa­an daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dia tidak menganggap keadaan itu sebagai tekanan, malah ia satu cabaran kepa­danya.

“Mereka mahu lihat saya untuk ber­aksi dan apa yang penting kini kami perlu bergabung, mencari ke­serasian dan saling memahami antara satu sama lain bagi membantu Malaysia mencapai sesuatu yang ber­makna.

“Saya mahu mempamerkan permainan terbaik dan jika mampu menyumbang gol serta menghadiahkan kemenangan untuk negara, ia satu bonus,” katanya.

Kemunculan pemain naturalisasi pertama itu sememangnya dinantikan para peminat bola sepak tanah air untuk melihat penampilannya bagi memperkuatkan Harimau Malaya dalam persediaan menghadapi kempen Piala AFF Suzuki 2018.

Sumareh yang mendapat taraf ke­rak­yatan Malaysia April lalu menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profe­sional empat tahun kemudian dan membuat penampilan pertama de­ngan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.