Menanti UniKL pada perlawanan akhir itu ialah naib juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang menyingkirkan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi separuh akhir.

Meskipun turun selaku pasukan underdog, namun Hertzberger percaya de­ngan kemampuan rakan sepasukan selain berazam untuk merobek pintu gol skuad kendalian Lim Chiow Chuan itu sekali gus menjulang trofi sulung buat UniKL sejak ditubuhkan pada 2009.

“Secara jujur, saya sangat benci pada kekalahan tidak kira dalam kejohanan kecil atau besar. Saya sa­ngat fanatik dalam setiap perlawanan serta sentiasa mahukan kemenangan menjadi milik saya dan pasukan.

“Kami sudah bekerja keras dalam tempoh beberapa bulan terdahulu sehingga sampai ke tahap ini. Saya fikir kami berhak untuk raikan kerja keras tersebut dengan menjulang trofi pada perlawanan esok (malam ini),” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Tengku Abdullah Shah, Bangi semalam.

Mengulas mengenai kemungkinan pasukan KLHC mengambil pendekatan mengunci pergerakannya pada perlawanan itu, Hertzberger menegaskan dia sudah ‘lali’ dengan situasi tersebut dan mengakui ia bakal membuka ruang buat rakan sepasukan me­lancarkan serangan.

“Sebenarnya, saya sudah biasa dengan situasi tersebut kerana saya se­ring alaminya sepanjang karier. Walaupun ada pasukan yang meletakkan dua pemain mengawal saya tetapi saya gembira kerana mudahkan pemain lain me­lakukan pergerakan.

“Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai penghargaan jika mana-mana pasukan mengawal ketat pergerakan saya. Mereka boleh cuba lakukannya dan kita lihat apa yang berlaku nanti,” tambahnya.

Mengulas sama ada dia sedia merebut gelaran selaku penjaring terbanyak kejohanan, Hertzberger menegaskan dia langsung tidak memberi tumpuan terhadap perkara itu memandangkan hanya fokus terhadap pasukan.

Ketika ini, Hertzberger mengumpul 12 gol pada kejohanan tersebut, dibezakan tiga jaringan dengan bintang Pasukan Hoki Terengganu dari Argentina, Gonzalo Peillat.

“Saya tidak tahu bahawa saya adalah penjaring ke­dua terbanyak ketika ini kerana objektif saya bukanlah untuk menjadi penjaring terbanyak. Sasaran utama saya adalah untuk catat kemena­ngan.

“Bukannya saya tidak bangga dengan pencapaian tersebut tetapi fokus utama ketika ini adalah untuk bantu pasukan. Saya seorang penyerang, jadi ia memang tanggungjawab saya untuk menghasilkan jaringan,” ujarnya.