Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek mengakui perkara tersebut, namun menegaskan Malaysia perlu bermain dengan lebih selesa kerana tekanan itu lebih berada pada pasukan Denmark.

Selain bertemu Denmark, skuad negara bakal berdepan saingan daripada Rusia dan Algeria dalam Kumpulan D.

Meskipun mengakui Malaysia berdepan tugas sukar pada kejohanan dwitahunan itu, namun Misbun yang juga legenda badminton tanah air percaya skuad negara mampu me­langkah jauh.

“Berada satu kumpulan bersama Denmark adalah lebih bagus kerana sudah pasti tekanan akan berada di atas bahu mereka tetapi ingin saya katakan, bukan mudah untuk kalahkan mereka kerana dibarisi pemain perseorangan dan beregu yang baik.

“Percaturan untuk mata pertama dan kedua menentang mereka (Denmark) sangat penting kepada kita kerana ia bakal menentukan percaturan mata seterusnya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Mengulas mengenai tentangan yang mampu dihadirkan Algeria dan Rusia, Misbun menggesa pemain-pemain negara melakukan persiapan rapi bagi mengelakkan kekalahan mengejut kepada pasukan bukan pilihan itu.

Ujarnya, kemahuan tinggi serta impian untuk menewaskan pemain negara mampu menjadi pembangkit semangat buat Algeria dan Rusia apabila turun berdepan Malaysia nanti.

“Saya percaya mereka mahu mencatat kemenangan ke atas Malaysia kerana ia mampu memberi suntikan semangat buat mereka jika berjaya menewaskan pemain negara. Pemain-pemain negara perlu berwaspada,” tambah beliau.

Selain itu, Misbun turut memberitahu, se­narai akhir pemain yang akan menggalas tugas negara di Bangkok nanti bakal diumumkan sebaik sahaja Sukan Komanwel 2018 berakhir dan ia dipersetujui pengurusan ter­tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Sebenarnya sudah boleh agak siapa yang akan dibawa nanti tetapi perbincangan perlu dilakukan bersama barisan jurulatih dan nama-nama tersebut diserahkan kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum pe­ngumuman dibuat,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia terus menanti untuk mendakap Piala Thomas buat kali pertama sejak 26 tahun apabila kali terakhir menjulang trofi paling berprestij itu pada 1992 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.