Dhaarma, 49, berharap mereka dapat menimba ilmu baharu demi kelangsungan karier selain menjadi ‘duta kecil’ Malaysian Tigress bagi menarik minat rakan sepasukan mereka di kelab-kelab diwakili agar datang ber­aksi merancakkan saingan Liga Hoki Wanita Malaysia.

Tujuh pemain itu ialah Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Md. Saiuti kini menyarung jersi Wespen Zeh­lendorfer dari Divisyen Satu Jerman, sementara Fatin Shafika Mahd. Sukri serta Nuraini Abdul Rashid dipilih mewakili kelab Serie A2, Butterfly Roma di Itali.

Raja Nursharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said akan beraksi bersama kelab Scotland, Uddingston, manakala penjaga gol No. 1, Farah Ayuni Yahya dalam fasa perbincangan akhir dengan pasukan tempat ketiga England, East Grinstead.

“Prestasi mereka pasti akan meningkat apabila bermain di Eropah kerana dapat bergaul dengan pemain-pemain terbaik dunia. Ini salah satu cara terbaik kerana mereka boleh berkongsi ilmu dengan pemain-pemain lain apabila pulang nanti.

“Saya bersikap terbuka untuk mendengar dan melakukan sesuatu demi kebaikan pasukan. Hoki wanita memerlukan pelaburan supaya dapat membawa pulangan besar.

“Sebagai jurulatih, saya cuma melatih pasukan dan memerlukan segala sumber bantuan untuk memastikan pasukan ini berjaya. Salah satu kejayaan terbesar saya apabila dapat meya­kinkan para pemain supaya berani keluar bermain di luar negara.

“Saya tidak meminta lebih daripada mereka, cukup sekadar dapat belajar perkara-perkara baharu dan apabila pulang nanti, saya mengharapkan mereka dapat membawa pemain-pemain Eropah bermain dalam liga kita selepas ini.

“Kehadiran ramai pemain berkelas dunia akan memboleh­kan liga wanita negara berkemampuan menjadi antara liga terbaik di Asia, setaraf dengan Liga Hoki India untuk lelaki pada suatu ketika dahulu,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Contoh terbaik ialah Jepun menghantar tiga pemainnya se­perti Hazuki Nagai dan Shihori Oikawa beraksi dalam saingan Hoofdklasse - liga utama negara ranking pertama dunia, Belanda, sekali gus membolehkan mereka menjuarai pingat emas Sukan Asia 2018 baru-baru ini.

Dhaarma mahu skuad negara melihat Eropah terutama Belanda sebagai ‘pangkalan’ latihan terbaik untuk peningkatan prestasi bermula dengan tujuh pemain yang berjaya mendapat peluang keemasan ketika ini.