Sterling tidak sabar untuk berdepan skuad kendalian Jurgen Klopp itu yang mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut dengan mem­belasah Arsenal 5-1 Ahad lalu, sekali gus mendahului carta EPL dengan tujuh mata.

Penyerang England itu mengakui City juga masih mampu beraksi sehebat The Reds dan yakin skuad bim­bingan Pep Guardiola itu turut digeruni pasukan lain dalam saingan bola sepak England.

“Kalau kami beraksi pada tahap keupayaan yang sebenar, kami mampu menewaskan sesiapa sahaja.

“Pertemuan dengan Liverpool nanti akan menjadi satu pertarungan yang menarik dan kami semua sudah tidak sabar lagi untuk kalahkan mereka,” jelas Sterling.

Perlawanan di Etihad menjadi misi wajib menang buat The Citizens kerana jika tewas, mereka akan ketinggalan 10 mata di belakang pencabar mereka itu.

Juara bertahan itu pernah tewas kepada Liverpool dalam dua aksi timbal balik peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada musim lalu.

Namun Sterling, 24, menegaskan kejayaan 3-1 City ke atas Southampton Ahad lepas telah mengembalikan semula keyakinan mereka selepas dikejutkan Crystal Palace dan Leicester City sebelum itu.

“Ia satu kemenangan yang penting kerana kami tahu kami perlukannya bagi menyuntik semula semangat kami. Kami harap dapat kekalkan momentum ini apabila turun berdepan Liverpool nanti,” ujarnya lagi. – Agensi