Sebelum kejohanan bermula, Malaysia sudah seakan-akan hilang daripada status kuasa besar badminton dunia apabila dilabel sebagai pasukan underdog dan tidak layak berdiri sebaris dengan pa­sukan China, Indonesia, Denmark dan Jepun.

Barisan pemain kebangsaan dikatakan sedang me­ngalami transisi daripada pemain senior kepada pemain junior sekali gus terdapat banyak ‘uji kaji’ berlaku kepada mereka sepanjang kejohanan berlangsung.

Antaranya adalah ke­serasian antara pemain beregu bagi mendapatkan pasangan sesuai untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik pada tahun hadapan serta pendedahan kepada pemain-pemain muda untuk pelan jangka panjang badminton negara.

Jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei yang tidak pernah terlepas mewakili negara di kejohanan berpa­sukan dwitahunan ber­kenaan sejak tahun 2004 juga sudah mengakui bersedia untuk melepaskan pe­ranannya pada saingan Piala Thomas bagi memberi ruang kepada pemain muda.

Sehubungan itu, barisan kejurulatihan negara giat berusaha mendapatkan ‘penawar’ sesuai berdasarkan prestasi aksi ‘uji kaji’ mereka dan berharap hasilnya dapat dicapai sekurang-kurangnya empat tahun akan datang yang mana Malaysia mampu kembali tampil sebagai pencabar utama.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa ciri pasukan juara yang tidak ada pada pemain-pemain kebangsaan sekali gus menjadikan impian untuk menamatkan kemarau gelaran juara selama 26 tahun sekadar kata-kata kosong.

Kejayaan dua bekas jurulatih negara, Rexy Mainaky dan Park Joo Bong membawa pasukan masing-masing iaitu Thailand dan Jepun ke pentas final me­nimbulkan persoalan pen­ting kerana mereka tidak dapat melakukan perkara tersebut ketika melatih Malaysia.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk Misbun Sidek berkata, pemain-pemain Malaysia telah dipupuk dengan pemikiran secara individu yang menjadikan mereka tidak dapat merasai semangat berpasukan seperti yang dipamerkan pemain negara lain.

Ini jelas kelihatan pada aksi Malaysia menentang Denmark apabila pemain-pemain negara seakan-akan tidak peduli dengan pergelutan rakan sepasukan di atas gelanggang sambil diprovakasi barisan penyokong lawan.

Sokongan daripada ‘pemain ketiga’ ini sangat penting dan dapat dibuktikan menerusi kejutan yang dibuat oleh Thailand setelah berjaya merobohkan tembok besar China pada aksi separuh akhir Piala uber sekali gus mara ke final buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.

Jeritan dan sorakan padu di dalam stadium Arena Impact, Bangkok, Thailand yang berkapasi­ti ­11,000­ pe­nyokong dikatakan menyema­rakkan semangat pemain-pemain Thailand yang pada asalnya gerun dengan status China sebagai pasukan gergasi.

Aspek ini diakui oleh Rexy yang memuji sema­ngat pasukan bimbingannya itu apabila mereka bersungguh-sungguh ke­rana menganggap bermain di halaman sendiri sebagai satu penghormatan untuk menghadiahkan sesuatu kepada negaranya berbanding tekanan untuk meraih kemenangan.

Selain itu, alasan bahawa pemain muda dan baharu hendak mendapatkan pendedahan juga tidak boleh digunakan kerana Indonesia turut berani menurunkan pemain perseorangan pertama hampir sebaya dengan Lee Zii Jia, 20, dan menunjukkan daya saing kepada pemain 15 tahun lebih tua, Chong Wei.

Chong Wei memuji tindakan bijak pemain Indonesia itu, Anthony Sinisuka Gin­ting yang mengkaji corak permainan serta taktiknya pada aksi menentang pemain No. 1 dari Denmark, Viktor Axelsen dan menggunakannya sebagai panduan walaupun tidak berjaya.

Selain itu, pemain muda Jepun, Kanta Tsuneyama yang tampil di Piala Tho­mas pertamanya muncul sebagai ‘adi wira’ untuk pasukannya yang terikat pada aksi separuh akhir menentang pemain Denmark, Jan O Jorgensen apabila meraih kemena­ngan straight set, 21-18, 21-11.

Kanta yang ditemui me­ngakui sangat gementar ketika diturunkan bersama pemain-pemain se­nior ke­rana tidak biasa de­ngan suasana permai­nan berkumpulan namun keya­kinan bertambah pada setiap perlawanan dan tidak sangka dapat me­ngawal tekanan pada detik cemas kelmarin.

Tambahnya, persembahan baik dipamerkan pemain senior seperti Kento Mamota yang bangkit daripada episod gelap dan memberikan yang terbaik kepada negara telah membuatkannya rasa bersemangat untuk membuktikan bahawa dia bukan pemain hingusan.

Maka, benarlah kata-kata Misbun yang berharap pemain-pemain negara diberi pendedahan berbeza seiring dengan perkembangan semasa sekiranya mahu kembali menyerlah sebagai pasukan yang digeruni dalam arena badminton dunia.