Kejohanan siri ketiga anjuran Kelab Muay Thai Sri Embun Pasir Mas itu turut mengaturkan satu perlawanan sengit  bagi merebut tali pinggang kejuaraan Ketua Pemuda UMNO Tumpat,  Rosidi Mahmud Kamaruddin.

Timbalan Presiden kelab itu, Mohamad Izwan Mohd. Jaafar berkata, kejohanan itu bertujuan mencari bakal baharu di kalangan remaja tempatan serta sebagai platform kepada mereka untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Perlawanan  bagi merebut tali pinggang tersebut adalah antara  Mat Don Sri Embun menentang Mat Anok Keli Sri Pulai Beris Lalang.

“Kejohanan dua hari bermula pada pukul 9 malam itu juga akan menyaksikan 20 anak Muay Thai tempatan serta dari Thailand akan beradu kehebatan masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga  turut mengaturkan beberapa regu yang hebat  bagi  merebut tiga piala pusingan antaranya adalah Mat Ropi Singa Muda dari Kelab Muay Thai Polis Diraja Malaysia (PDRM)  menentang Sekchai dari Bangkok Thailand.

"Setakat ini jualan tiket terjual mencecah 3,000 keping  di mana harga RM15 untuk dewasa dan RM6 untuk kanak-kanak.

“Kepada peminat-peminat Muay Thai di negeri ini diharapkan hadir  memberi sokongan kepada peninju-peninju bertanding,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan tiket boleh menghubunginya terus di talian 014-8286838. - K! ONLINE.