Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, perlumbaan yang akan diharungi nanti dianggap sebagai kejohanan pemanas badan sebelum beraksi pada tiga kejohanan besar tahun depan.

"Saya akan turun di sini buat kali pertama sebagai juara dunia. Bagaimanapun, kejohanan ini adalah aksi pemanas badan bagi saya sebagai persiapan untuk menghadapi tiga perlumbaan penting tahun depan iaitu Kejuaraan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya juga tidak meletakkan apa-apa sasaran kerana hanya turun untuk mendapatkan rentak serta melihat prestasi semasa. Menerusi perlumbaan ini, saya berpeluang melihat keupayaan pelumba-pelumba yang akan menjadi saingan pada Kejuaraan Dunia tahun depan.

"Saya sendiri sudah tidak perlu mengejar mata untuk acara keirin kerana saya adalah juara dunia. Namun, saya masih perlu berusaha untuk mencari mata sebanyak mungkin untuk acara pecut. Kesemua mata ini adalah bersifat individu yang akan menentukan sama ada seseorang pelumba itu layak ke Kejuaraan Dunia atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain jaguh yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu, perlumbaan tersebut turut disertai oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Fatehah Mustapa serta Farina Shawati Mohd. Adnan.

Selain empat pelumba tersebut, seorang lagi pelumba elit lelaki iaitu Mohd. Fadhil Zonis turut disenaraikan untuk menyertai Perlumbaan Berbasikal Trek Piala Dunia siri kedua di Manchester, England bagi acara satu kilometer ujian masa bermula 10 hingga 12 November ini.

Ketika diminta mengulas mengenai penyertaan pelumba negara ke kejohanan berkenaan yang semakin bertambah, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 itu mengakui, ia sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepadanya beraksi sebaik mungkin.