Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan ganjaran berjumlah RM3,643,750 kepada pemenang-pemenang pingat pada KL2017, manakala RM1,891,000 diperuntukkan buat atlet-atlet cemerlang bagi Sukan Para ASEAN Kesembilan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5,534,750.

'Durian runtuh' buat wira dan wirawati negara itu adalah sempena kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan KL2017 dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa selain bergelar naib juara untuk Sukan Para ASEAN Kesembilan menerusi 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa.

Insentif kemenangan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyampaian Shakam di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Penerima Shakam tertinggi pada majlis tersebut menjadi milik atlet berbasikal para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais, 19, yang menerima insentif berjumlah RM53,000 selepas cemerlang meraih empat pingat emas dan satu perak pada Sukan Para ASEAN Kesembilan, September lalu.

Impian atlet berbasikal tandem itu untuk membawa keluarganya menunaikan ibadah umrah tercapai selain baki wang kemenangan tersebut mahu digunakan sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasinya menghadapi kejohanan lebih besar selepas ini.

"Saya tidak pernah menjangkakan dapat memenangi emas yang banyak sewaktu beraksi pada Sukan Para ASEAN. Saya sangat bersyukur kerana kerja keras selama ini akhirnya me­nuai hasil cukup lumayan.

"Insya-Allah, saya akan menggunakan ganjaran ini untuk membawa ahli keluarga terutama ibu dan bapa saya menunaikan umrah," kata Nur Azlia yang cuma mengambil masa selama tiga bulan me­lakukan persediaan menghadapi Sukan Para ASEAN Ke­sembilan, September lalu.

Sementara itu, ratu gimrama negara, Koi Sie Yan yang merupakan atlet wanita terbaik temasya KL2017, menerima insentif tertinggi bernilai RM49,500 selepas meraih empat pingat emas iaitu aparatus gelung, belantan dan individu keseluruhan serta berpasukan.

Sebagai rekod, Shakam menawarkan ganjaran bernilai RM20,000 bagi pingat emas pertama, manakala emas ke­dua dan seterusnya menerima RM10,000 untuk kedua-kedua temasya tersebut.

Majlis tersebut juga menghargai pemenang pingat perak dan gangsa dengan diberikan insentif khas bagi menghargai pencapaian mereka, malah sebagai dorongan buat atlet-atlet untuk meneruskan momentum cemerlang menghadapi kejohanan lebih besar.

Shakam yang diperkenalkan sejak 1986 diwujudkan bagi menghargai pencapaian atlet yang mengharumkan nama negara dalam beberapa temasya sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan Para ASEAN selain kejohanan individu pada peringkat dunia, Komanwel atau benua Asia.