PFAM memandang serius masalah tersebut yang sering berlaku ke atas pemain memandangkan masih terdapat sejumlah 120 pemain masih dalam rundingan bersama pasukan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka.

Rezal memberitahu, pihaknya juga sedang menasihatkan pemain-pemain daripada tiga pasukan Liga Premier serta satu Liga Super untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin dan PFAM sedia membawa masalah berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya masih gagal diselesaikan.

“Saya enggan mendedahkan tiga kelab Liga Premier dan satu pasukan Liga Super yang berdepan masalah gaji, sebaliknya memberikan masa kepada mereka untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

“Ini kerana ia atas permintaan pemain-pemain sendiri kerana mereka mahu menyelesaikan kemelut itu dengan cara baik bersama pasukan sebelum sedia melaporkan kepada kami jika masalah tersebut berlanjutan.

“Pada masa sama, jumlah tunggakan itu juga belum sesuai untuk didedahkan buat masa ini kerana kita mahu menghormati kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Sepatutnya isu ini tidak perlu dibangkitkan jika pihak pengurusan dapat menjalankan tugas dengan baik memandangkan pemain-pemain juga mempunyai tanggungjawab tersendiri dengan keluarga masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isu tunggakan gaji mula berbangkit apabila Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berdepan masalah hutang gaji hampir setengah juta ringgit melibatkan 29 pemain musim ini.

Sementara itu, Rezal memberitahu, tindakan tersebut bukan untuk menyalahkan pihak pengurusan sebaliknya ia perlu dipandang serius kepada semua pasukan agar masalah tersebut tidak terus menular pada Liga Malaysia (Liga M).

“Tindakan dan nasihat saya bukan untuk mendesak atau menyalahkan pihak pengurusan, sebaliknya ingin membetulkan masalah ini supaya tidak terus berlarutan dalam kalangan pemain.

“Kita mahu semua yang berada dalam pasukan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik kerana kita tidak mahu hanya pemain dipersalahkan atas kemerosotan prestasi sesebuah pasukan selepas ini,” tegas Rezal.