Menurut Stuart, selepas tarikh akhir kelmarin, sebanyak 12 pasukan daripada Liga Super dan Liga Premier masih belum menghantar dokumen lengkap berkenaan dan dipercayai berpunca daripada masalah kelewatan urusan surat menyurat di antara kelab de­ngan pihak ketiga.

Jelasnya, FAM akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu minggu untuk menilai dokumen berkenaan secara terpe­rinci sebelum membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana pasukan yang gagal memenuhi segala kriteria yang telah digariskan.

“Setakat hari Jumaat iaitu 30 Ogos, saya dimaklumkan oleh unit perlesenan kelab FAM bahawa separuh daripada 24 pasukan yang bertanding masih belum menghantar dokumen lengkap.

“Ada satu atau dua pasukan daripadanya pula berdepan sedikit masalah melibatkan urusan dokumen fasiliti stadium serta bukti urusan pembayaran gaji pemain.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya satu minggu untuk melakukan penelitian dan akan memaklumkan sama ada tempoh permohonan boleh dilanjutkan atau tidak kerana FAM perlu menilai daripada semua aspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Stuart ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Difahamkan, untuk mendapatkan lesen kelab daripada FAM, kelab atau pasukan bertanding perlu memenuhi enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan.

Perlesenan kelab telah di­syaratkan ke atas semua pasukan Liga Super sejak musim lalu setelah ia diperkenalkan buat kali pertama pada 2017.

Felda United adalah antara kelab yang pernah gagal dalam memohon perlesenan kelab sehingga tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim lalu.