PETALING JAYA – Seorang pemilik akaun TikTok menasihatkan golongan perantau yang mahu bertolak ke Pantai Timur malam ini supaya melupakan hasrat tersebut.
Pemuda itu ketika sesi siaran langsung di TikTok berkata, dia bertolak dari Ampang pada pukul 4 petang dan tiba ke Plaza Tol Gombak pada pukul 9 malam tadi.
“Lima jam (perjalanan) dari Ampang, baru sampai Tol Gombak. Ini nak menempuh (kesesakan) ke Bentong pula, lampu merah sepanjang lebuh raya.
“Kalau siapa nak bertolak malam ini atau sekejap lagi, saya nasihatkan tidak payah. Rehat dulu, tunggu awal pagi,” cadangnya.
Menurut pemuda itu, makanan dan minuman perlu disediakan sebelum perjalanan selain persediaan lain seperti mengisi penuh petrol dalam tangki kenderaan.
“Paling elok adalah top-up (tambah) siap-siap kad TnG, kalau nak kencing pun selesai la awal-awal, sesak ini mungkin berlarutan.
“Nak sampai kampung memang tidak tahu pukul berapa, saya doakan kita semua selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














