Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang prihatin kepada rakyat dan bijak menguruskan negara sekali gus menjadinya paling layak untuk meneruji dan mengemudi Malaysia dalam menghadapi apa juga cabaran melanda.

“Maka atas kesedaran itu, biarlah perhimpunan kali ini kita tumpukan kepada satu persoalan sahaja.

“Rakyat Malaysia kini berada di sebuah persimpangan dilema – kekal atau ubah.

Satu pangkah yang bakal menentukan nasib mereka hari ini, dan masa depan anak dan cucu mereka nanti.

“Lebih daripada pilihan raya yang lalu, membuat keputusan itu amat sukar kali ini kerana landskap politik telah banyak berubah.

Justeru, ramai yang masih di atas pagar, memerhati dan mencongak-congak, dan hanya akan membuat pilihan di saat akhir nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO yang bertajuk Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu. Transformasi Sebenar pada Persidangan Perwakilan Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. - K! ONLINE