Sambil menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi, Ketua Pergerakannya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meminta kedua-dua pemimpin itu untuk terus mengibarkan panji aspirasi dan memandu transformasi yang telah dijanjikan sebelum ini.

"Kepada presiden, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta saf kepimpinan UMNO, Wanita akan memastikan barisan yang diluruskan lebih 70 tahun lamanya ini, terus tenang dan padu, memecah lontaran-lontaran hasutan yang mencemburui ikatan kekuatan parti ini.

"Wanita juga menyokong pendirian dan cadangan (Datuk Seri) Hishammuddin yang menekankan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang tiada ditandingi, demi perpaduan dan muafakat serta kestabilan parti," katanya penuh tegas diiringi sorakan lautan merah putih 973 perwakilan Wanita UMNO pada Persidangan Perwakilan Wanita di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Pemimpin wanita yang sentiasa kelihatan anggun itu turut menyatakan ikrar Wanita UMNO untuk berganding bahu bersama-sama Pemuda dan Puteri serta parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi hatta pemecah undi di mana yang perlu.

Dalam ucapan dasarnya, Shahrizat berjanji dengan kekuatan 1.4 juta anggota berdaftar, yang merupakan keanggotaan parti politik wanita terbesar dalam sejarah, Wanita UMNO akan memastikan BN tidak akan gugur di medan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang digambarkan sebagai raja segala pilihan raya umum. - Bernama