Ia memandangkan golongan guru kini dilihat semakin aktif dan terlibat secara langsung dengan masyarakat. 

Pengerusi Guru Aktif 1 Selangor (GA1S) Daerah Kuala Langat, Hamid [email protected] berkata, GA1S merupakan wadah para guru untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawan dan pada masa sama, mendekati serta mendalami masalah masyarakat.

“Saya amat meminati kerja-kerja sukarela dan menerusi GA1S, saya dapat menyampaikan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat setempat supaya segala kekeliruan dapat dirungkai.

“GA1S banyak memberi input akan apa yang sebenarnya kerajaan lakukan terutama Kementerian Pendidikan dan kita bertindak menjadi penyalur maklumat dan penyelesai masalah kepada guru-guru menerusi perbincangan dengan jawatankuasa terlibat,”  katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hamid berkata, pelbagai program telah dilaksanakan meliputi peringkat daerah dan negeri selaras dengan prinsip Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu sedia membantu rakyat. 

“Kita melaksanakan program untuk mendekati masyarakat dan kita turut menitikberatkan kebajikan warga pendidik melalui program sumbangan bantuan kepada guru-guru yang menghidap penyakit kronik, pencen, ziarah dan lainlain dalam usaha untuk menghargai peranan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi GA1S Daerah Hulu Selangor, Mustafa Kamal Husin berkata, penglibatannya dalam GA1S adalah semata-mata untuk lebih rapat dengan masyarakat selain minat mendalam terhadap kerja-kerja sukarela.

“Tugas guru bukan hanya di sekolah tetapi turut melibatkan masyarakat setempat dan ia memberi kesan apabila guru tidak dapat menjelaskan kekeliruan yang berlaku seperti pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) suatu ketika dahulu. 

“Guru dipandang tinggi sebagai orang yang dihormati dan berpendidikan. Justeru, setiap apa yang diperkatakan guru akan didengar masyarakat dan tiada lagi kes ibu-bapa menyerang sekolah kerana isu-isu tertentu yang tidak jelas,” jelasnya.