Salah sebuah sekolah tersebut ialah Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeM Johor) yang telah beroperasi sejak tahun 2007 di Johor Bahru.

Pengetuanya, Rohana Ismail, 58, berkata, sekolah tersebut telah melahirkan ramai pelajar yang memiliki potensi dan bakat seni sehingga telah mendapat pelbagai anugerah pencapaian terbaik individu ataupun peringkat sekolah, dalam dan luar negara.

“Para pelajar dari SSeM Johor sentiasa dipilih untuk mewakili negara dalam pameran, persembahan mahupun pertandingan kesenian yang diadakan dalam dan luar negara.

Menurut Rohana, antara pencapaian terbaik SSeM Johor ialah Johan Kebangsaan Pertandingan Main Zapin dan Tingkah Zapin 2016 di Kuala Lumpur, memenangi pingat emas dalam kategori tulisan rumi; perak dan gangsa (tulisan Jawi); dan gangsa (kaligrafi Cina) pada 2016 International Caligraphy Painting Competition and Appreciation to The Beauty  di Johor Bahru, memenangi gangsa pada 2016 International Children Painting Competition di Hong Kong, johan kebangsaan dan mewakili Malaysia pada 2016 International High School Arts Festival di Jepun.

“Sehubungan itu, setiap pelajar SSeM Johor diberi pendidikan terbaik mengenai semua aspek asas seni menerusi subjek yang ditawarkan iaitu Muzik, Tari, Teater dan Seni Visual sebelum memilih pengkhususan untuk mereka membawa haluan diri dalam kerjaya masing-masing selepas tamat persekolahan kelak.

“Hampir keseluruhan pelajar lepasan SSeM Johor berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang seni dan kebudayaan selain melanjutkan pelajaran di universiti atau institusi perguruan,” ujarnya.

Jelasnya, SSeM Johor memberi peluang kepada murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat keputusan minimum 3B dan lulus sesi serlahan seni.

“Apa yang penting, pelajar tersebut perlu mempunyai minat yang tinggi dalam bidang seni dan mereka yang berminat boleh mendaftar secara online di laman web KPM,” ujarnya.

Katanya, pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di SSeM akan tinggal di asrama yang disediakan dan sesi pembelajaran bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 3.10 petang melibatkan tiga jam untuk pembelajaran seni dan selebihnya belajar subjek akademik termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Agama.

“Setiap pelajar tingkatan satu hingga tiga akan diberi pendidikan untuk menguasai semua subjek asas yang ditawarkan SSeM sebelum mereka boleh memilih bidang pengkhususan seni tertentu bagi menyerlahkan bakat dan potensi sebenar di tingkatan empat hingga lima  dan seterusnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Kaedah interaksi pelajar seni

Walaupun subjek seni merupakan keutamaan buat SSeM Johor, namun pihak sekolah turut menitiberatkan pembelajaran akademik para pelajar sehingga sekolah tersebut mendapat tempat kedua dari segi kecemerlangan bagi daerah Pasir Gudang berdasarkan keputusan SPM pada tahun ini.

Sementara itu, dalam aspek berinteraksi dengan pelajar seni, menurut Rohana yang mempunyai latar belakang sebagai guru Pendidikan Jasmani, kaedahnya agak berbeza berbanding berurusan dengan pelajar sekolah biasa.

“Kita tidak boleh membuat mereka berasa tertekan. Jika emosi pelajar terganggu, ia akan memberi kesan kepada prestasi mereka ketika melakukan membuat persembahan seni dalam pertandingan mahupun khalayak awam,” ujarnya.

Menurut seorang tenaga pengajar seni tarian SSeM, Mimi Syafinie Mohd. Samsudin, 25, bagi pelajar yang memilih pengkhususan dalam subjek Tari, mereka akan didedahkan dengan pelbagai tarian kebudayaan negara ini seperti tarian Istana, Terinai dan Canggung.

“Sebelum pelajar memilih pengkhususan dalam bidang tarian, mereka telah mempunyai asas tarian yang dipelajari dari tingkatan satu hingga tiga dan apabila memasuki tingkatan empat hingga lima, mereka mempelajari cara menghasilkan karya tarian sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, setiap pelajar tarian yang menduduki peperiksaan akan dinilai melalui ujian teori iaitu subjek pembelajaran dan praktikal mengenai tarian mereka yang akan membantu meningkatkan keputusan gred subjek masing-masing dalam peperiksaan seperti SPM.

“Selain itu, kebanyakan pelajar tarian di sekolah ini sudah menguasai pelbagai jenis tarian yang sekali gus memudahkan mereka mengembangkan kerjaya mereka selepas tamat sekolah dalam bidang hiburan, kebudayaan dan lain-lain,” ujarnya.

Sementara itu, menurut pelajar yang berasal dari Kuala Lumpur, R. Sivani, 17, SSeM  Johor memberi ilmu yang sangat berguna kepada para pelajar agar dapat menguasai semua bidang kesenian.

“Sewaktu peringkat sekolah rendah, saya aktif dalam kegiatan muzik dengan mewakili sekolah sebagai penyanyi koir.

“Saya sangka telah mempunyai pengetahuan yang cukup dalam bidang seni muzik. Namun apabila melangkah ke sekolah ini, rupa-rupanya bidang seni cukup luas dan banyak yang perlu dipelajari, sekali gus memberi keyakinan diri untuk mencari potensi dan bakat sebenar yang sesuai untuk diri saya,” katanya.

Selepas tamat tingkatan tiga, dia telah memilih pengkhususan dalam bidang muzik dengan bermain instrumen klarinet iaitu alat tiupan yang sering digunakan dalam orkestra.

“Saya mempunyai pengalaman bermain klarinet selama lima tahun dan sudah banyak kali mewakili sekolah dan negara untuk mengadakan persembahan orkestra di hadapan tetamu kenamaan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang peguam.

Lee Peng Yuan, 16, pula berkata, dia membuat keputusan menyambung pelajaran di SSeM Johor kerana minat melukis yang mendalam sejak di sekolah rendah.

Pelajar tingkatan empat kelahiran Johor ini memilih subjek Seni Visual sebagai pengkhususannya selepas tamat tingkatan tiga di sekolah tersebut.

“Selepas belajar di sini, saya dapat menguasai pelbagai bidang seni visual yang tidak hanya tertumpu kepada melukis.

“Saya juga mempelajari cara untuk membuat karya, melukis dan membuat ukiran kayu selain kemahiran komputer untuk membuat animasi dan cetakan serta berpengetahuan dalam mereka bentuk sesuatu arca,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah lukisan.