Pengarah Bahagian Pengurusan Ber­asrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Rashidah Md. Arif (gambar kecil) berkata, jumlah tersebut dijangka bertambah menjelang tahun 2020 berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh semua sekolah.

Beliau berkata, SBT mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi serta cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa, sekali gus menjadi sekolah pilihan.

“SBT memainkan peranan penting untuk menyediakan persekitaran pe­ngajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu pencapaian murid serta pelajar di sekolah rendah dan juga mene­ngah.

“Pengiktirafan sebagai SBT juga amat rasional iaitu untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik, menghasilkan murid dan pelajar cemerlang serta merapatkan jurang antara sekolah-sekolah dalam sistem pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Rashidah, pemilihan SBT melibatkan tiga saringan utama iaitu sekolah yang memenuhi syarat generik mengisi Instrumen Annex 2.0 SBT me­lalui portal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). 

Jelasnya lagi, syarat generik itu adalah berada dalam Band Satu dan tiada audit kewangan berteguran dalam tempoh tiga tahun.

“Saringan kedua adalah sekolah perlu melepasi sekurang-kurangnya skor minimum dalam Instrumen Annex 2.0 SBT yang ditetapkan dan seterusnya disahkan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

“Saringan ketiga pula melibatkan pengesahan JNJK bagi sekolah yang melepasi sekurang-kurangnya skor mi­nimum dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan SBT, seterus­nya senarai sekolah yang mendapat persetujuan mesyuarat tersebut dise­rahkan kepada Menteri Pendidikan,” katanya.

Rashidah berkata, pelbagai kelebihan dinikmati oleh sekolah sekiranya terpi­lih untuk diiktiraf sebagai SBT. Antaranya ialah penawaran peperiksaan luar kurikulum serta pengubahsuaian jadual waktu, namun pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan daripada badan berkaitan.

“Setiap SBT juga ditempatkan dengan pemimpin yang berprestasi tinggi selain diberikan kuasa untuk membuat pemilihan kemasukan murid dan pelajar sebanyak 20 peratus berdasarkan akademik, kokurikulum atau etos sekolah.

“Dalam soal perbelanjaan pula, SBT akan menerima peruntukan khas, bagaimanapun peruntukannya berdasarkan perancangan sekolah masing-masing mengikut keperluan semasa dan selari dengan Surat Pekeliling Kewangan Bil.1 Tahun 2011,” ujarnya.

Mengulas mengenai hala tuju SBT, Rashidah berkata, kewujudan SBT adalah bagi memberi nilai tambah kepada murid dan pelajar untuk bersaing di peringkat antarabangsa, seterusnya menjana daya saing serta kecemerlangan menerusi mereka yang mempunyai kompetensi dan kebolehan tinggi.

“Perkara itu sejajar dengan matlamat utama SBT untuk menghasilkan murid cemerlang yang berkaliber supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan terbaik di dunia, seterusnya menjadi personaliti unggul dalam semua bidang yang diceburi,” katanya.

Mengenai peluang sekolah yang berada di luar bandar untuk terpilih sebagai SBT, Rashidah berkata, pencalonan untuk SBT terbuka kepada semua sekolah kerajaan serta bantuan kerajaan di seluruh negara dan sekolah-sekolah yang layak akan dipilih tanpa mengira jenis dan lokasi.

Sesi temu bual Pengarah Bahagian Pengurusan Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Datuk Rashidah Md.Arif berkenaan Sekolah Berprestasi Tinggi serta Sekolah Kecemerlangan di KPM, di sini hari ini.