Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Datuk Sabri Arshad berkata, beliau menyokong TN50 kerana ia bertujuan untuk memperkasakan pendidikan kepada generasi muda pada masa hadapan.

“Peranan golongan guru dalam mendidik pelajar sangat penting bagi membentuk pemikiran mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dalam tempoh 30 tahun akan datang.

“Saya melihat pihak kementerian telah banyak membuat program bagi generasi muda untuk memperkembangkan pemikiran mereka sebagai perintis pemimpin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya di sini semalam.

TN50 merupakan aspirasi rakyat terutama golongan muda pelbagai kaum untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara terbaik di dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang selepas 2020.

Mengulas lanjut, Sabri berkata, cabaran yang dihadapi para guru adalah sangat besar kerana mereka bertanggungjawab mendidik pelajar menjadi seorang yang berkaliber.

“Guru memainkan peranan penting dalam menyalurkan ilmu pendidikan kepada pelajar untuk me­nuju ke arah transformasi yang telah dirancang kerajaan.

“Guru-guru ini perlu diberi sokongan dari pelbagai aspek supaya motivasi mereka tidak terhakis dalam proses  Malaysia mencapai matlamat menjadi negara maju pada 2050 kelak,” ujarnya.

Sementara menyentuh me­ngenai kualiti warga pendidik yang perlu dimantapkan,  Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan akhbar sebelum ini berkata, perkara tersebut boleh dicapai menerusi latihan berterusan supaya para guru dapat membangunkan modal insan yang memenuhi kehendak TN50.

Mengulas tentang perkara itu, Sabri menyarankan agar para guru diberikan pendedahan yang sewajarnya terhadap penggunaan teknologi supaya mereka tidak ketinggalan.

“Kita telah mengetahui fakta bahawa guru sedia ada mempunyai kesukaran untuk mempelajari teknologi yang semakin bergerak pantas ini. Pendedahan teknologi yang sewajarnya kepada para guru adalah sa­ngat penting terutamanya kepada golongan guru muda kerana mereka merupakan perintis kepada guru-guru sedia ada.

“Antara negara yang telah menggunakan teknologi sebagai suatu alat pendidikan ialah Jepun dan Korea. Mereka mempunyai infrastruktur lengkap bagi proses pembelajaran menggunakan teknologi,” katanya.

Tambah Sabri, teknologi amat penting dalam soal pendidikan selari dengan hasrat kerajaan dalam pembentukan negara maju seperti yang telah dirangka menerusi TN50.

“Teknologi harus meliputi secara menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan guru dan pelajar di luar bandar tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

“Guru dan pelajar di luar bandar perlu dipastikan turut sama mendapat akses internet bagi mendapatkan maklumat tentang pendidikan sebagaimana guru dan pelajar di bandar.”

Jelas Sabri lagi, pelbagai kemudahan teknologi disediakan di sekolah bagi memastikan pendidikan dalam pelajaran seimbang dengan arus pemodenan se­perti makmal komputer, pembelajaran melalui peranti dan kemudahan internet.

“KPM telah melaksanakan perkara tersebut bagi memastikan dasar pendidikan tanpa sempadan ini menjadi realiti kepada golongan tersebut.

“Kita juga masih dalam pro­ses untuk memberi pendedahan kepada para pendidik yang sehingga kini seramai 400,000 orang guru terbabit, terhadap dasar TN50 yang berpandangan jauh ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ujar Sabri lagi, kebajikan para guru harus diberi perhatian supaya beban yang ditanggung mereka diri­ngankan serta motivasi mereka untuk mendidik kekal tinggi.

“Tugas mendidik adalah sukar sebab ia memerlukan komitmen yang tinggi. Ini kerana seorang guru perlu menjaga berpuluh-puluh orang murid selain mempunyai waktu yang terhad untuk berehat.

“Guru merupakan ibu dan bapa kepada anak-anak ini sewaktu di sekolah dan pelbagai ragam murid terpaksa dilayani di sam­ping tugas-tugas seharian yang perlu diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, pelbagai langkah proaktif perlu diambil oleh pelbagai pihak bagi meri­ngankan beban yang ditanggung para guru dalam mendidik pelajar.

“Kita perlu memberi ruang kepada para guru dan pihak sekolah untuk menentukan peraturan sedia ada bagi memudahkan proses mendidik anak-anak ini.

“Para guru merupakan inspirasi kepada golongan pelajar untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Oleh itu, ruang  sepatutnya diberikan kepada warga pendidik dalam proses menyalurkan ilmu pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Sabri turut menyatakan sekolah merupakan platform yang penting kepada pelajar mendapatkan saluran yang betul dalam pro­ses pembelajaran.

“Kita mahu Malaysia mampu berdaya saing dengan negara luar agar ia seiring dengan arus pemodenan yang semakin maju. Kita tidak mahu pelajar negara ini ketinggalan mendapatkan ilmu yang sewajarnya.

“Guru juga merupakan pemangkin budaya pelajar sejajar dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa,” katanya.