Jurucakap Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, setiap tahun terdapat peningkatan dari segi jumlah MBK hasil program turun padang selain hebahan mengenai pendidikan khas yang disediakan pihak kementerian.

“Kini kita lihat situasi semakin berubah. Ibu bapa sudah mahu tampil ke hadapan sama ada menghantar anak mereka belajar di sekolah di bawah kementerian atau swasta supaya pendidikan itu dapat diberi kepada anak mereka.

“Malah, dengan adanya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) yang diperkenalkan di sekolah harian, kita lihat jumlah MBK ini semakin meningkat saban tahun,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu kanak-kanak tersebut dianggap sebagai liabiliti kepada negara, sebaliknya mahu mereka juga mempunyai kemahiran dan mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

“Kanak-kanak istimewa ini perlu bercampur dengan orang biasa supaya mereka tidak berasa tersisih dan ini yang kita bentuk dalam kalangan MBK supaya timbul keyakinan dalam diri mereka dan boleh berinteraksi dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat seramai 78,330 MBK yang belajar di 34 sekolah pendidikan khas di seluruh negara bermula peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah.

“Kami menguruskan 28 Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), dua Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) dan empat Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) di seluruh negara.

“Aliran vokasional ditawarkan kepada MBK yang tidak berupaya mengikuti aliran akademik yang mana diwujudkan sejak 1988.

“Selain itu, terdapat 2,284 sekolah harian biasa yang menawarkan PPKI iaitu kelas pendidikan khas yang diwujudkan di sekolah arus perdana manakala 5,884 sekolah harian yang melaksanakan PPI yang mana MBK belajar bersama pelajar arus perdana di dalam kelas yang sama,” katanya.

Bagi aliran vakasional dan kemahiran, beliau memaklumkan, terdapat empat SMPKV iaitu SMPKV Shah Alam, Selangor; SMPKV Indahpura, Kulai, Johor; SMPKV Kuantan, Pahang dan SMPKV Merbok, Kedah.

“Pada masa ini, terdapat 25 kursus aliran kemahiran ditawarkan, antaranya refleksologi kaki, tangan dan telinga; penyediaan pembuatan makanan, roti dan pastri; dandanan rambut, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik, perkhidmatan dobi serta  pembuatan pakaian lelaki dan wanita.

“Sejak 2010 hingga 2015, seramai 964 MBK berjaya menamatkan pengajian dengan 96.58 peratus memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) manakala 2.84 peratus mendapat Penyata Pencapaian.

“Malah, kementerian turut mendapat maklum balas positif sektor industri bahawa modal insan yang dihasilkan memenuhi kriteria yang diperlukan pihak syarikat,” katanya.

Menurutnya lagi, selain peluasan aliran vokasional dan kemahiran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) di sekolah ha­rian yang menawarkan PPKI, kementerian juga berhasrat memulakan program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) bersama pihak industri mulai tahun depan.

“Kementerian optimis usa­ha ini akan dapat mempersiapkan MBK dengan kemahiran tinggi berbentuk industri selaras usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kementerian juga mengalu-alukan penyertaan MBK berkelayakan untuk memohon kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat di SMPK dan SMPKV melalui laman sesawang http://epkhas.moe.gov.my dengan permohonan dibuka mulai bulan Ogos hingga September setiap tahun,” katanya.