Program yang dijalankan secara usaha sama de­ngan jaringan industri itu bakal mendedahkan para pelajar dengan latihan kemahiran secara hands-on.

Pengarah Bahagian Teknik dan Vokasio­nal, KPM, Zainuren Mohd. Nor berkata, PIMA merupakan sebahagian daripada Program Sarana Sekolah iaitu de­ngan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) bagi memastikan pembelajaran berkualiti untuk murid.

Sebagai rekod, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra dijadikan sebagai projek rintis bagi program tersebut yang melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5.

“Kita ingin memastikan bahawa pelajar-pelajar ini tidak ketinggalan serta mempunyai kemahiran sesuai dengan minat dan kebolehan mereka walaupun dengan keputusan akademik yang kurang cemerlang.

“Tempoh latihan yang diambil pelajar adalah selama dua tahun dengan waktu pembelajaran di sekolah dan industri juga fleksibel,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di SMK Bukit Rahman Putra di sini pada Selasa lalu.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Bukit Rahman Putra, Ahmad Ismail serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Bukit Rahman Putra, Datuk Azmin Mustam Abdul Karim.

Beliau berkata, para pelajar bakal mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) akademik di sekolah selama dua hari (40 peratus) mengikut jadual waktu persekolahan manakala berada di industri selama tiga hari (60 pe­ratus) bermula pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang termasuk satu jam waktu berehat.

“Kita menawarkan komponen akademik dengan mewajibkan dua mata pelajaran teras wajib lulus iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah serta Bahasa Inggeris yang mana waktu PdP adalah sama seperti aliran perdana.

“Dua mata pelajaran daripada pakej Mata Pelajaran Ali­ran Kemahiran (MPAK) iaitu Matematik dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral yang perlu diikuti bagi melengkapkan penawaran mata pelajaran mengikut Kurikulum Kebangsaan serta mata pelajaran Sains dilaksanakan melalui elemen sains yang diterapkan dalam modul vokasional atau kursus yang ditawarkan,” katanya.

Menurut Zainuren lagi, pelajar-pelajar yang berjaya mengikuti program PIMA bakal dianugerahkan dwipensijilan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pernyataan MPAK dan sijil latihan kemahiran yang dikeluarkan oleh pihak industri.

“Hal ini kerana kita mahukan setiap pelajar dapat me­nyumbang kepada Transformasi Pendidikan Vokasional. Seterusnya, dapat menimbulkan minat mereka melalui pe­ngalaman hands-on dan be­kerja di industri dan pada masa sama, mampu me­ngurangkan kadar keciciran dalam kala­ngan murid mene­ngah atas.

“Selain itu, ia mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran berbentuk industri selaras dengan hasrat dan usaha kerajaan untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad berkata, SMK Bukit Rahman Putra menawarkan enam kursus kepada para pelajar lepasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang mana pencapaian akademik mereka berada pada tahap sederhana dan rendah.

“Mereka akan melalui ujian psikometrik yang dilakukan oleh kaunselor mengikut kecenderungan minat pelajar itu.

“Kursus-kursus industri yang kita tawarkan ialah salun kecantikan, membaiki motosikal, membuat kek, pertanian, spa dan dobi.

“Kita juga telah dapat me­ningkatkan peratusan keha­diran pelajar sehingga 95 peratus dengan pelaksanaan PIMA, sekali gus mengurangkan risiko keciciran,” katanya.

Beliau turut berkata, sehingga kini seramai 25 pelajar sedang mengikuti projek rintis melibatkan lapan pelajar pe­rempuan dan 17 lelaki.

Dalam pada itu, Azmin Mustam memberitahu, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa pelajar amat menggalakkan.

“Hal ini kerana pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang keluar­ga yang mempunyai masalah menyebabkan mereka tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran akademik semata-mata.

“Justeru, saya amat optimis kerana mereka dapat menonjolkan bakat kemahiran melalui latihan industri. Sekurang-kurangnya mereka memberikan komitmen dan kehadiran ke sekolah pada masa depan,” jelasnya.