Ia merangkumi 19 jenis bantuan yang diberikan kepada kira-kira lima juta murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dalam bentuk kewangan selain penyedia­an makanan dan kemudahan pengangkutan.

Kesemua 19 jenis bantuan persekolahan tersebut distruktur semula daripada 25 jenis bantuan pada tahun lalu yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM2.9 bilion menerusi tiga kategori iaitu umum, khusus dan one off.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan KPM, Datuk Abd. Wahid Ahmad berkata, bantuan persekolahan umum diberikan kepada semua murid tanpa sebarang syarat atau kriteria khusus bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah.

“Di bawah bantuan persekolahan umum, kerajaan menyediakan bantuan persekolahan seperti Bantuan Geran Per Kapita (PCG) berjumlah RM620 juta, Bantuan Geran Per Kapita Prasekolah (PCG Pra) sebanyak RM21.6 juta, Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) bernilai RM92.9 juta dan Bantuan Sukan Sekolah (BSS) sebanyak RM23.6 juta.

“Selain itu, turut diberikan ialah Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan (BBTP) yang merangkumi Bantuan Kokurikulum Sekolah (BKKS), Bantuan Kokurikulum Asrama (BKKA) dan Bantuan Kokurikulum Prasekolah (BKKP) bagi lima juta murid di semua sekolah kerajaan serta bantuan kerajaan di bawah KPM dengan peruntukan sejumlah RM941.2 juta pada tahun 2017 berbanding RM908.2 juta pada tahun 2016,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Abd. Wahid, bantuan persekolahan umum disalurkan terus kepada sekolah bagi tujuan pengajaran dan pem­belajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah berdasarkan jumlah enrolmen murid pada tahun semasa.

Bagi bantuan persekolahan khusus, ia diberikan kepada murid yang layak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan bagi membantu murid dari keluarga yang berpendapatan rendah, kelainan upaya atau yang cemerlang dalam akademik dan sukan.

Katanya, bantuan berkenaan merangkumi Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Biasiswa Sukan (BS), Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK), Elaun Pra Universiti (EPU), Bantuan Makanan Asrama (BMA) dan Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia (RMT1M).

“Ia turut meliputi Perjalanan dan Pengangkutan Murid (PPM), Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP), Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh (PKSBP), Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS), Jaket Keselamatan Murid (JKM) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Seterusnya,  kerajaan turut memberikan bantuan perse-kolahan one off, iaitu Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) yang di­salurkan kepada murid melalui sekolah sebanyak RM100 dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) melalui institusi penga­jian masing-masing.

Tambahnya, kesemua bantuan telah mula disalurkan kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan ia dijang­ka akan selesai diagihkan sekurang-kurangnya pada Mac depan.

“Ini kerana KPM perlu mengesahkan data yang dite­rima melalui sistem bagi memastikan hanya penerima yang layak sahaja menerima bantuan ini.

“Mungkin akan ada sedikit masalah, tetapi kita akan terus menjalankan komitmen dan peng­hujung Mac adalah bulan akhir semua bantuan disalurkan kepada yang layak,” jelas­nya.

Pada masa sama, tanggungjawab kerajaan untuk membantu pelajar miskin juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk Tabung KWAPM.

“KWAPM bertujuan membantu pelajar miskin dan miskin tegar berdasarkan data yang diterima daripada Orang Asli, e-Kasih dan data sedia ada melibatkan seramai sejuta penerima.

“Sumber utama Tabung KWAPM adalah daripada peruntukan kerajaan yang disa­lurkan terus ke tabung ini manakala sumber kewangan kedua terbesar bagi Tabung KWAPM adalah daripada badan-badan korporat, skim potongan gaji bulanan secara sukarela bagi semua kakita­ngan perkhidmatan awam dan individu perseorangan yang diperoleh melalui penyertaan KPM dalam pelbagai program anjuran Kementerian sendiri mahupun agensi-agensi luar.

“Namun, beberapa tahun kebelakangan ini sumbangan daripada pihak swasta sema­kin berkurangan dan KPM terpaksa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan. KPM telah mengambil langkah untuk menstruktur semula kadar bantuan yang diberikan kepada murid yang layak,” jelasnya.