Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Aminudin Adam berkata, pembelajaran abad ke-21 menerapkan kaedah pembelajaran yang berpusatkan murid.

“Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dirancang dengan teliti bagi menyediakan murid dengan kemahiran empat C iaitu komunikasi, berkolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif.

“Dengan itu, setiap murid akan memiliki nilai nyala rasa yang mana mereka akan terlibat sama dalam pembelajaran mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabat KPM, Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Aminudin, PdP seumpama itu juga dapat memberi keselesaan dan keseronokan kepada murid dari aspek emosi, membina keyakinan diri serta berani berbincang dan berinteraksi dengan guru.

“Penguasaan ilmu, kemahiran dan nilai seseorang murid yang tidak hanya menumpukan peperiksaan semata-mata adalah fokus utama PdP ini dilaksanakan.

“Sehubungan itu, setiap guru perlu memahami, menghayati serta mempraktikkan konsep murid lebih berinteraksi dengan guru atau Teach Less Learn More (TLLM) yang mana guru mengajar secara berkesan, di samping meningkatkan penglibatan murid untuk menyediakan mereka sebagai masyarakat madani abad ke-21 yang mampan,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, penerapan  elemen yang dikenali dengan istilah ‘didik hibur’  itu merupakan kaedah PdP yang bersifat santai dan menyeronokkan dalam keadaan terkawal dari konteks kurikulum yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025).

“Murid-murid berpeluang untuk merasakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan menimbulkan minat mereka untuk belajar, selain mendorong murid untuk berinteraksi serta menggalakkan pembelajaran secara aktif.

“Hal ini sekali gus dapat membantu memperkukuhkan pemahaman murid dan mendorong mereka untuk belajar menggunakan pendekatan didik hibur yang menekankan persekitaran pembelajaran menyeronokkan secara terancang,” katanya.

Dalam pada itu, Aminudin memberitahu, kreativiti guru juga adalah amat penting untuk memastikan proses PdP berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan, ceria dan berkesan.

“Justeru, PdP akan membantu murid dengan menimbulkan cabaran rasa ingin tahu, imaginasi, kerjasama, persaingan sihat dan pengiktirafan,” ujarnya.

Keduanya, KPM telah memperkenalkan kaedah Flipped Classroom (FC) di prasekolah KPM yang mana pembelajaran telah bermula dari rumah dengan pendedahan kandungan pembelajaran dilakukan oleh ibu bapa sebelum mereka belajar di sekolah.

“Kita telah memilih sebanyak 10 buah kelas prasekolah dijadikan kumpulan rintis FC pada tahun 2015 dan akan diperluaskan kepada satu kelas FC bagi setiap daerah pada tahun lepas.

“Model FC adalah satu kaedah pembelajaran yang melibatkan kerjasama ibu bapa atau penjaga dalam memberikan pengetahuan awal berkenaan kandungan sesuatu pembelajaran melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp.

Selain itu, Aminudin juga berkata, penggunaan teknologi mengikut kesesuaian dan kemampuan sekolah serta aktiviti di dalam kelas menjadi satu kelebihan pelaksanaan FC.

“Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Indah, Seberang Prai, Pulau Pinang yang telah berjaya memantapkan pelaksanaan FC bagi tujuan PdP dengan kerjasama komuniti setempat melalui pembelian 25 set tablet dan perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya lagi.

Menuru beliau, hasil pemantauan pelaksanaan FC, murid lebih cepat menguasai kemahiran di dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan kaya dengan pengalaman yang hampir kepada kehidupan sebenar seperti yang digariskan dalam kurikulum.

“Sementara, guru pula berasa seronok merancang aktiviti yang mencabar kemampuan murid untuk berfikir secara kreatif dan kritis bagi menyelesaikan tugasan yang diberi,” katanya dalam mengukuhkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) mengikut usia murid.

Ekosistem pembelajaran abad ke-21 perlu wujud secara menyeluruh bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.

Mengulas lanjut, Aminudin berkata, komponen penting dalam mewujudkan ekosistem itu merangkumi budaya sekolah, prasarana, penglibatan ibu bapa dan komuniti, guru yang profesional serta proses PdP yang menjurus kepada kemahiran abad ke-21.