Tidak dinafikan, pendidikan yang lestari merupakan kunci kepada kesejahteraan negara seterusnya membawa kepada kemakmuran dunia.

Dalam bajet tersebut, seba­nyak RM1.096 bilion diperuntukkan untuk projek-projek pembangunan infrastruktur pendidikan.

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Pelajaran (BPP) memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan awal kanak-kanak dan prasekolah serta pendidikan sekolah rendah dan menengah.  

Setiausaha BPP, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sebanyak sembilan buah ­Institusi Pendidikan Guru (IPG) akan diubahsuai dengan bajet RM400 juta.

“Sembilan buah IPG tersebut akan diubah suai menjadi empat politeknik, empat kolej vokasional dan satu pusat latihan jurulatih TVET yang dijangka siap pada 2018.

“BPP juga akan menaiktaraf pe­ralatan TVET berjumlah RM270 juta untuk melahirkan para pelajar yang mahir menggunakan teknologi terkini apabila mereka memasuki alam pekerjaan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya baru-baru ini.

Bagi pembangunan pendidikan prasekolah, BPP memperuntukkan RM132 juta untuk meningkatkan akses pendidikan prasekolah di sekolah kerajaan secara percuma kepada 200,000 kanak-kanak selain memperluas program itu kepada 50 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menelan belanja RM10 juta.

Pembangunan fizikal pendi­dikan sekolah rendah dan menengah juga tidak dilupakan.

Menurut Khalid, tiga usaha utama BPP ialah pembangunan semula sekolah daif, menaiktaraf makmal sains, me­nyiapkan pembinaan sekolah dan Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyenggaraan Sekolah.

“Sebanyak 120 sekolah daif akan dibangunkan semula oleh BPP menggunakan sistem binaan industri (IBS).

“Jumlah itu merangkumi 30 buah sekolah daif di Sarawak, 30 buah sekolah di Sabah dan baki selebihnya di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai penggunaan IBS dalam pembinaan infrastruktur pendidikan, Khalid berkata ia jauh lebih mudah berbanding kaedah konvensional.

“Infrastruktur yang dibina mengguna IBS tahan lebih lama, murah dan boleh di­siapkan dalam masa dua ke tiga bulan.

“Perdana Menteri melihat idea tersebut sangat bagus selepas kita melaksanakan kaedah IBS tahun lalu malah sekolah yang terbakar boleh digantikan dalam masa dua bulan berbanding empat tahun jika menggunakan kaedah konvensional kerana kita terpaksa menunggu peruntukan,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya akan menaiktaraf 1,800 makmal sains di sekolah seluruh negara.

Usaha tersebut diperhebatkan lagi dengan  pembinaan 227 buah sekolah yang akan disiapkan termasuk lapan sekolah baharu berjumlah 478 juta,

Khalid menambah, Tabung Khas Penambaikan dan Pe­nyenggaraan Sekolah sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk Sekolah Kebangsaan. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.