Program Guru Aktif telah diilhamkan oleh Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia tercetus selepas beliau melihat keperluan guru aktif di peringkat masyarakat bagi membolehkan kemenjadian murid dan sekolah seterusnya menjadi pemangkin kepada warga pendidik untuk membantu melonjakkan transformasi pendidikan negara.

Timbalan Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan negeri Selangor merangkap Koordinator GA1S, Shashim Shah Harun berkata, GA1S merupakan sekelompok guru di Selangor yang dipilih untuk menjadi penghubung dengan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta masyarakat.

moe3
 

“GA1S merupakan badan sukarela yang akan mengukuhkan lagi profesion perguruan selain memberi tumpuan terhadap pembinaan negara bangsa.

“Ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang kaum menerusi pelaksanaan program-program yang dirancang selain menyampaikan maklumat berkenaan dasar-dasar kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika ditemui di JPNS, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Shashim Shah, sehingga kini terdapat 1,050 orang guru aktif di seluruh Selangor membabitkan 935 buah sekolah.

Beliau memberitahu, setiap sekolah mempunyai seorang guru aktif bertindak sebagai penyalur maklumat awal di sekolah yang akan menghubungkan guru dengan guru dan guru dengan masyarakat.

“Guru aktif ini perlu selangkah ke hadapan dengan memahami segala isu yang berlaku kerana mereka merupakan rujukan utama para guru yang lain untuk menyalurkan masalah seperti isu gaji, pencen, elaun dan dasardasar kerajaan yang kurang difahami.

“Justeru, saya melihat peranan guru aktif ini semakin rancak kerana mereka memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing terutama untuk bertindak sebagai sistem pemberi maklumat awal dan berkongsi maklumat antara satu sama lain setelah  mendapat kesahihannya,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun guru aktif itu terdiri daripada kelompok umur 40 tahun ke atas tetapi ia tidak membantutkan gerak kerja dan peranan mereka dalam mentransformasi pendidikan negara. 

“Saya amat menekankan anjakan transformasi sistem iaitu mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan, memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas serta memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit yang dilaburkan. 

“Jika empat daripada 11 anjakan ini dapat dicapai, tiada lagi masalah-masalah berbangkit dan semua itu memerlukan kejujuran, keikhlasan serta minat yang mendalam untuk menjalankan tugas,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan harapan supaya guru aktif akan terus membuat lonjakan bukan sahaja dari segi pencapaian akademik di sekolah, malah merangkumi bidang-bidang lain sebelum berupaya mencapai aspirasi ‘Selangor Terbilang’.