Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatankuasa peringkat tertinggi itu diwujudkan bagi membolehkan penggunaan bahasa Melayu dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua kementerian.

“Penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja melibatkan Kementerian Pendidikan malah ia turut merangkumi kementerian lain seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Jadi, apabila menteri sendiri duduk dalam jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, ia (penguatkuasaan bahasa Melayu) jadi lebih mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program Wacana Intelektual bersama pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman dan IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dekat sini di Dewan IPG Kampus Darulaman semalam.

Kata beliau, jawatankuasa berkenaan akan memastikan penggunaan bahasa Melayu di­letakkan sebagai keutamaan iaitu nombor satu berbanding bahasa lain dalam semua pelaksanaan kerja di semua kementerian.

“Sebagai contoh dalam laman web atau aplikasi mana-mana jabatan mestilah pilihan pertama bahasa adalah bahasa Melayu diikuti bahasa lain dan antara lain adalah penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda,” jelasnya.

Menurut Mahdzir, salah satu perkara yang akan dibincangkan jawatankuasa tersebut kelak adalah memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang didapati tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul mengikut peruntukan undang-undang.

“Pada masa ini DBP hanya sebagai tempat rujukan bahasa yang betul dan hanya boleh menasihati kepada pihak terlibat.

“Bagaimanapun, dengan ada­nya satu undang-undang atau akta yang diluluskan, DBP boleh mengambil tindakan kepada pihak terlibat termasuk membawa mereka ke mahkamah,” jelasnya.

Tambah beliau, cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa kabinet itu akan dibawa kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.