Pengetuanya, Fahrurrazi Ramdhan memberitahu, sasaran untuk memastikan lepasan MBK  SMPKV Indahpura mendapat pekerjaan dalam industri sebagaimana yang menjadi keutamaan sekolah berkenaan.

“Sasaran itu dibuktikan apabila bekas-bekas MBK kami berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat persekolahan, malah ada MBK yang ditawarkan bekerja oleh pihak industri khususnya syarikat perhotelan.

“Ada juga bekas MBK SMPKV Indahpura berkecimpung dalam bidang keusahawanan selain ada yang menggunakan kemahiran yang diajar di sini untuk membantu perniagaan ibu bapa masing-masing.

“Pada masa sama, kami menjemput pihak industri untuk menemu duga MBK-MBK di SMPKV Indahpura bagi mengisi kekosongan di syarikat mereka,” kata Fahrurrazi ketika ditemui di SMPKV Indahpura, Kulai baru-baru ini.

Fahrurrazi memberitahu, SMPKV Indahpura yang merupakan sekolah menengah vokasional pertama bagi pendidikan khas memberitahu, pihaknya menerapkan konsep latihan amali selain mendedahkan MBK kepada suasana industri yang diceburi.

“Sekolah ini menyediakan kemudahan yang lengkap mengikut bidang masing-masing. Selain pembelajaran akademik, latihan amali juga diberi bagi mendedahkan MBK kepada keadaan situasi sebenar pekerjaan mereka.

“Sebagai contoh, bagi bidang refleksologi kaki, tangan dan telinga yang menjadi bidang kebitaraan SMPKV Indahpura, kemudahan kerusi urut, sauna dan kelengkapan rawatan spa turut disediakan.

“Malah, tambah membanggakan SMPKV Indahpura dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya melahirkan produk herba yang diasaskan daripada minyak kelapa dara yang dikenali sebagai Maria,” katanya.

Fahrurrazi memberitahu, sekolah berstatus kluster kecemerlangan itu menawarkan lima bidang utama teras utama pendidikan vokasional.

“Antara bidang yang ditawarkan termasuklah perkhidmatan estetik (kosmetik); refleksologi kaki, tangan dan telinga; dandanan rambut; penyediaan dan pembuatan makanan serta operasi pengemasan.

“Semua bidang vokasional ini dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman dalam bidang masing-masing dan lepasan MBK SMPKV Indahpura akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Setapak, Kuala Lumpur turut mempunyai rekod cemerlang dalam bidang akademik dan juga sukan.

Menurut Pengetua SMPK Setapak, Jalaluddin Yusof, ada dalam kalangan ibu bapa tidak tahu di mana mahu menghantar anak-anak mereka yang terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) terutamanya kurang  upaya penglihatan sehingga mengakibatkan anak mereka ketinggalan dalam pelajaran.

“Anak-anak kurang upaya penglihatan dan berkeperluan khas tidak boleh bersekolah di sekolah biasa kerana sekolah biasa tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk anak-anak ini.

“Di sini (SMPK Setapak), kita mempunyai guru yang mahir, peralatan yang lengkap seperti mesin braille dan kanta pembesar dan juga asrama bagi MBK  yang tinggal di luar kawasan,” katanya.