Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika menekankan komitmen itu berkata, pihaknya mencadangkan kerjasama dengan UNESCO untuk melihat isu keciciran pelajar secara serius.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 membuktikan Malaysia telah melaksanakan konsep Matlamat Pembangunan Berterusan (SDGs) selari dengan hasrat melaksanakan transformasi dalam pendidikan negara.

“Kami juga berterusan memberi penekanan kepada kualiti pendidikan tinggi serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pemain utama ekonomi negara,” jelas Mahdzir.

Beliau juga menambah, dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang dite­rajui oleh Unit Perancang  Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia telah membuat pemetaan kepada 17 SDGs sepanjang tempoh RMK-11.

“Ekonomi adalah berpaksikan rakyat dan matlamat paling penting ialah melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi dan negara inklusif menjelang 2020,” ujarnya.