Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan komitmen Malaysia dan menawarkan Kuala Lumpur sebagai lokasi Kota Buku Dunia 2020 dan telah menggerakkan jentera ke arah menjayakan usaha tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan komitmen Kuala Lumpur yang telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk memacu budaya membaca dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

Menyentuh hal yang sama pada sidang akhbar­nya, Mahdzir memberitahu, Malaysia akan menyerahkan dokumen pembidaan kepada UNESCO tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan menggerakkan segala jentera berkaitan untuk menjayakan inisiatif ber­kenaan.

Menurutnya, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak yang telah dilantik untuk me­nyertai jawatankuasa kerja ialah Majlis Buku Malaysia, Institut Terjemahan Buku Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan banyak lagi.

Bangkok, Thailand merupakan negara serantau yang pernah menerima anugerah yang sama manakala Kota Sharjan di Emiriyah Arab Bersatu ialah pemegang status itu.

Usaha melobi akan berlaku dalam dua pusingan Perhimpunan Agung U­NESCO iaitu pada tahun ini dan 2019.

Pelbagai aktiviti kebudayaan, kesusasteraan dan pembacaan akan berlaku selama setahun jika Kuala Lumpur berjaya dalam pembidaan tersebut.