Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan Profesionalisme Keguruan (TPPPK), Rosnarizah Abdul Halim, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah digubal bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu.

“Terdapat beberapa faktor utama yang menjadi pemangkin kepada kejayaan sistem pendidikan negara ini seperti kualiti para pendidik dan sikap profesionalisme guru dalam menyalurkan ilmu kepada pelajar. Ia bertujuan untuk mengurangkan jurang pencapaian antara pelajar luar bandar dan bandar serta meningkatkan mutu pendidikan di negara ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambah Rosnarizah, pelbagai inisiatif telah diambil oleh KPM bagi memastikan perancangan dasar pendidikan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

“Kita telah memperkemaskan laluan kerjaya guru, membangunkan konsep Guru Malaysia dan menggalakkan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini. Pendidikan merupakan tunjang utama dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan ia harus dimulakan dengan para guru yang menjadi pihak kedua yang paling rapat dengan pelajar selain keluarga mereka,” ujarnya.

PPB keguruan merupakan keperluan dalam usaha memantapkan keupayaan PPPM bagi melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan merangkumi pelbagai peringkat kerjaya seorang guru.

Mengulas lanjut, Rosnarizah memberitahu, dalam Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan (PIPPK) terdapat beberapa fasa yang harus ditempuhi guru yang ingin melanjutkan perkhidmatan mereka ke arah yang lebih baik.

“Fasa ini bermula dengan praperkhidmatan dan calon yang menepati kriteria akan dipilih untuk mengikuti latihan keguruan pada peringkat pengajian tinggi. Kedua ialah awal perkhidmatan, pada fasa ini guru tersebut akan dilantik ke jawatan tetap dan didaftarkan menjadi Guru Malaysia. Yang terakhir ialah fasa pemantapan kerjaya iaitu guru yang mencapai tahap prestasi ditetapkan boleh memilih tiga laluan kerjaya iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), kepimpinan serta kepakaran pendidikan,” jelasnya.

PPIPK berkait rapat dengan laluan kerjaya para guru yang ingin mengorak langkah ke arah lebih baik berdasarkan prestasi yang telah dinilai oleh pihak kepimpinan sekolah serta KPM.

Dalam pada itu, Rosnarizah turut menjelaskan mengenai PPB yang mana ia merupakan proses untuk memperoleh pengalaman pembelajaran melalui penglibatan para guru sepanjang kerjaya mereka.

“Antara objektif PPB adalah untuk meningkatkan kualiti para guru secara berterusan dan menggalakkan mereka mengikuti latihan terancang serta sistematik,” katanya.

Selaras dengan itu, PIPPK telah menggariskan tiga standard utama bagi memastikan para guru berperanan dalam bidang pendidikan.

“Tiga standard tersebut yang harus dikuasai setiap para guru ialah amalan nilai profesional, pengetahuan dan kemahiran. Guru yang memiliki standard ini berupaya melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai peneraju perubahan, pemikir holistik serta peneraju kepada perubahan yang positif,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pekeliling perkhidmatan telah menggariskan dasar latihan sumber manusia sektor awam bagi merancang pelan latihan yang merangkumi struktur dan latihan yang lebih sistematik.

“Kita mahu para pendidik ini dilengkapi dengan latihan berasaskan kebolehan dan pembelajaran yang berterusan bagi meningkatkan kualiti mereka sebagai guru. Ia merupakan salah satu usaha KPM bagi mewujudkan satu tindakan yang sistematik untuk memastikan para guru dapat mengikuti kursus sekurang-kurangnya tujuh hari setahun,” ujarnya.

Jelasnya lagi, PPB turut mempunyai sistem mata kredit yang bertujuan untuk memperakui penyertaan guru-guru dalam setiap aktiviti yang telah disediakan.

“Ia merupakan nilai tambah kepada para guru dalam proses pembangunan kerjaya mereka dalam misi mencapai matlamat yang telah ditetapkan KPM. Pemberian mata kredit ini akan diberikan secara automatik melalui perekodan aktiviti yang telah dihadiri oleh guru tersebut dalam sistem pengurusan latihan KPM,” katanya.