Pengurus Program Inisiatif Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Malaysia, Lokman Abd. Wahid berkata, pihak­nya percaya sasaran tersebut boleh dicapai memandangkan KSBM yang kini telah 85 peratus siap dibangunkan mempunyai keupayaan untuk membantu meningkatkan penguasaan seseorang dalam bahasa Melayu.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat terkini, jumlah pelajar yang mendapat kredit bagi mata pelajaran bahasa Melayu hanya mencapai 70 peratus.

“KSBM merupakan satu piawai bahasa untuk menentukan pemerolehan dan penguasaan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu yang mana terdapat sehingga 200 juta penutur bahasa berkenaan di seluruh dunia.

“Terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan setelah adanya KSBM, antaranya membangunkan kurikulum untuk semua kursus bahasa, pembinaan pengujian dan penilaian, merangka kursus untuk semua peringkat dan golongan penutur serta program latihan perguruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Lembah Pantai di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, KSBM yang sedang dibangunkan itu akan dise­rahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia pada akhir tahun ini setelah siap sepenuhnya.

Menurut Lokman, pihak kementerian kemudiannya akan menguatkuasakannya secara berperingkat-peringkat di negara ini sehinggalah diuar-uarkan kepada semua 18 institusi di luar negara yang menawarkan program bahasa Melayu.

“Terdapat banyak institusi di luar negara yang mempunyai kursus sedemikian, antaranya School of Oriental and Africa Study (SOAS), United Kingdom; Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan; Center for Southeast Asian Studies, Universiti Kyoto, Jepun dan Universiti Leiden, Belanda.

“Semua institusi ini perlu diselaraskan standard program bahasa Melayu yang mereka anjurkan. KSBM dilihat dapat menyelaraskan kurikulum dan instrumen penilaian yang mereka bina agar menepati ciri-ciri atau parameter bahasa Melayu yang dituturkan di Malaysia,” katanya.

Lokman menegaskan, langkah pembangunan KSBM merupakan titik permulaan untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu baik di dalam mahupun luar negara.