Pemilihan tersebut mengulangi tema sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan pada tahun 2009, 2010 dan 2016.

Ia membuktikan bahawa tema yang dipilih itu sangat signifikan dengan pe­ranan utama golongan pendidik yang menjadi penggerak utama dalam semua agenda pembangunan negara.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Aminudin Adam berkata, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti setiap pelajar dalam aspek jas­mani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan.

“Peranan guru dalam membina negara bangsa merujuk kepada melahirkan insan yang mempunyai jati diri beridentiti Malaysia,” katanya kepada pembe­rita di Hotel Langkasuka di sini semalam.

Beliau berkata, identiti Malaysia boleh dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi erti bahawa guru bertanggungjawab melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.

“Ia juga bertanggungjawab untuk membentuk warga negara bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya.

Menurut Aminudin, bagi mencapai tujuan itu, guru perlu menguasai disiplin ilmu yang diajar iaitu dengan menyampaikan ilmu secara kreatif dan inovatif selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Golongan pendidik perlulah menggunakan pendekatan strategi dan teknik pengajaran yang pelbagai termasuk berani mencuba kaedah Pembelajaran Abad 21,” jelasnya.

Beliau memberitahu, negara bangsa dalam konteks pendidikan pula adalah memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral.

“Pelajar juga perlu dibentuk supaya hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu,” katanya.

Aminudin berkata, guru juga perlu kompeten iaitu bukan sahaja memiliki pengetahuan semata-mata tetapi berkemampuan untuk menguruskan hubungan manusia dengan berkesan.

“Ia perlu dalam usaha menjadikan pelajar sebagai seorang yang berketerampilan yang mana guru terlebih dulu perlu menjadi contoh yang baik,” ujarnya.