Menghasilkan produk bersifat mesra alam daripada sumber organik, reka cipta dan inovasi, para pelajar itu ternyata telah membuka mata banyak pihak terhadap kualiti yang dimiliki anak muda tempatan.

Malah, kehebatan mereka menjawab setiap pertanyaan daripada pihak juri tanpa bantuan guru pengiring dalam setiap pertandingan yang di­sertai juga harus dibanggakan.

Sebagai contoh, sekumpulan pelajar SM Imtiaz Kuala Terengganu telah membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menghasilkan enam produk  iaitu Magical of Chanting; Styroform Cutter Pen; Dr. Duster with Green Cleaner; The Miracle of Multipurpose Soap: Novely; Nifti Cleaner dan The Potential Product from Pandanus Amaryllifolius Roxb.

Pengetua SM Imtiaz Kuala Terengganu, Mohd. Yusoff Othman berkata, sekolah ber­kenaan mengamalkan tiga prinsip iaitu Quranic, Ijtihadik dan Encyclopedic dalam melahirkan individu yang bersifat ulul albab iaitu mempunyai keseimbangan ilmu dunia dan agama.

“Quranic bermaksud sistem  pembelajaran sekolah menjurus kepada hafazan dan penghayatan al-Quran. Ijtihadik pula bermaksud menghasilkan sesuatu yang baharu atau penyelesaian masalah yang boleh memberi manfaat kepada umat.

“Encyclopedic pula membawa maksud pelajar perlu berpengetahuan luas dan bukan semata-mata belajar dalam satu bidang sahaja. Mereka perlu belajar pelbagai disiplin lain seperti kemahiran, sains, sejarah dan bahasa,” ujarnya.

Beliau menambah, dalam membudayakan bidang kajian dan inovasi, aspek Ijtihadik atau penyelesaian ditekankan untuk mendorong pelajar menghasilkan satu inovasi baharu.

“Setiap pelajar di sekolah kami wajib menyertai kumpulan yang terdiri daripada empat atau lima orang dan dibimbing oleh seorang guru untuk menghasilkan produk sendiri.

“Proses itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu pendedahan, penerokaan dan penghasilan produk,” jelasnya di SM Imtiaz Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mengambil contoh produk Dr. Duster with Green Cleaner, guru pembimbing projek, Saripah Embong berkata, ia merupakan 100 peratus produk asli dan ciptaan baharu sepenuhnya yang bersifat mesra alam dan pengguna.

“Dr. Duster with Green Cleaner mudah dikendalikan dan selamat digunakan, malah tidak melibatkan bahan kimia se­perti etanol dan thinner.  Kami menggunakan aloe vera sebagai bahan utama dalam cecair organik.

“Produk itu juga menggunakan sabut kelapa dan hampas tebu untuk memadamkan kotoran. Kami menggunakan bahan kitar semula bagi membina struktur badan produk dan bahagian pemegangnya,” ujarnya.

Berikutan keistimewaan yang ada pada Dr. Duster with Green Cleaner, produk tersebut kini dalam proses untuk dipa­tenkan bagi tujuan komersial.

Antara pertandingan yang disertai SM Imtiaz Kuala Terengganu ialah Ekspo Reka Cipta dan Reka Bentuk 2015 di Kaohsiung, Taiwan; Pameran Sains Kejuruteraan 2015 di Kuala Lumpur; Ekspo Antarabangsa Harta Intelek, Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2016 di Bangkok, Thailand serta Pameran Kreativiti dan Inovasi Eropah ke-8 di Romania tahun lalu.

Sebagai rekod, antara kejayaan manis yang diraih SM Imtiaz Kuala Terengganu adalah merangkul pingat emas dan anugerah khas pada Ekspo Reka Cipta dan Reka bentuk Kaohsiung 2015 di Taiwan serta Pameran Kreativiti dan Inovasi Eropah ke-8 (satu pingat perak dan dua anugerah khas).

Melakar kejayaan yang hampir sama adalah produk ciptaan sekumpulan pelajar dari SMKA Kuala Abang, Dungun.

Dengan hanya menggunakan bahan terpakai, SMKA Kuala Abang telah meraih kejayaan pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa 2017 di Johor Bharu, Johor baru-baru ini.

Tampil dengan kreativiti melibatkan 20 orang pelajar, tiga produk SMKA Kuala Abang telah dihantar untuk pertandingan berkenaan, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa.

Pengetua SMKA Kuala Abang, Mat Lazim Mamat berkata, kejayaan para pelajarnya memenangi anugerah tersebut telah meletakkan sekolahnya sebaris dengan sekolah-sekolah elit lain di bandar.

“Ia juga menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mengikut jejak langkah rakan-rakan mereka yang berjaya mengharumkan nama sekolah sehingga peringkat kebangsaan.

“Saya berharap program sebegitu tidak terhenti di sini sahaja, ia merupakan langkah pertama kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Bagi guru penasihat projek, Ahmad Mahzam Ramli, 35, beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai suatu pencapaian yang amat membanggakan kerana ia merupakan kesinambungan kejayaan yang dicapai SMKA Kuala Abang tahun lalu apabila memenangi satu pingat perak dan empat gangsa.

Menurutnya lagi, kesungguhan dan daya kreativiti kumpulan pelajar tersebut memanipulasikan produk kitar semula secara maksimum telah berjaya mengurangkan kos penghasilan produk.

“Pelajar terlibat telah menggunakan daya fikir dan kreati­viti untuk menggunakan produk kitar semula dengan menggunakan kos paling minimum.

“Produk itu mungkin kita akan kembangkan menjadi suatu produk komersial dan tidak mustahil boleh menembusi pasaran,” kata Ahmad Mahzam.

Ketua projek, Muhammad Danish Aqil Addnin, 17, berkata, produk Thi2thin yang berfungsi sebagai pengalas kotoran pada kolar baju telah memenangi pingat perak manakala Easy2 reach iaitu rak barang yang dipasang pada kabinet dapur meraih pingat gangsa.

“Produk Air2channel yang merupakan alat untuk me­ngalihkan aliran angin yang di­letakkan di bawah kipas siling turut memenangi pingat gangsa,” ujarnya.
Muhammad Danish turut memberi­tahu, dia dan rakan-rakannya mengambil masa hampir sebulan untuk menghasilkan ketiga-tiga produk ber­kenaan.