Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), M. Azahari Edin berkata, pihak terbabit juga boleh memainkan peranan dalam mengantarabangsakan bahasa Kebangsaan melalui jenama atau label produk agar masyarakat antarabangsa mengenali bahasa berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan, semua pihak daripada pucuk pimpinan tanpa mengira latar belakang politik hingga kepada masyarakat awam perlu bersama-sama menjayakannya sejajar dengan tuntutan  Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan. 

“Kejayaan dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan tidak dapat dikecapi tanpa kerjasama dan dukungan semua pihak. 

“Penglibatan dan kerjasama antara DBP dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi pengiklanan bagi pengesahan bahasa Kebangsaan dalam iklan harus dijadikan contoh yang baik melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan,” katanya pada sidang  akhbar mengenai usaha DBP dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan di Menara DBP di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kementerian dan agensi kerajaan mahupun sektor swasta wajar menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi kerana termaktub dalam Perlembagaan  Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Menurut M. Azahari, pihaknya menerusi Bahagian Penguatkuasaan DBP komited mengambil pendekatan dengan cara mendidik, menegur dan menasihati pihak yang berkenaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan
dan bukannya menghukum menerusi tindakan undang-undang. 

“Walaupun peruntukan sedia ada mencukupi di pihak yang ada kuasa penguatkuasaan untuk tindakan tegas diambil, kerajaan percaya usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu mendapat kerjasama ikhlas semua pihak tanpa mengira sektor awam, swasta mahupun badan bukan kerajaan.

“Buat masa ini, penguatkuasaan dalam perkara tersebut di tempat awam dilaksanakan sepenuhnya oleh PBT, namun DBP dari semasa ke semasa membuat teguran kepada pihak yang melakukan kesalahan bahasa agar bahasa Melayu digunakan secara betul dan tepat.

“Kita mengambil pendirian mendidik lebih berkesan daripada penguatkuasaan melalui teguran secara berhemah,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai program pengembangan bahasa dan persuratan Melayu telah dirangka dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi untuk dijadikan asas pembinaan negara bangsa.

Antaranya termasuklah menerusi program pengukuhan dasar bahasa bagi memperkukuh penggunaan bahasa Kebangsaan yang dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dan 19 Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.

“Aktiviti yang dilaksanakan termasuklah mengadakan sesi dialog, ceramah, taklimat, penerangan, muzakarah dan ziarah bahasa. 

“Program Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan Oktober setiap tahun pula bertujuan mempersegar semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa Kebangsaan dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap keupayaannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi sosial perpaduan,” ujarnya.