Kecemerlangan STAR yang mula ditubuhkan pada tahun 1957 ditunjangi oleh pengetua, Abdul Hashim Abdul Karim, 58, yang mula berkhidmat di sekolah tersebut sejak tujuh tahun lalu.

Abdul Hashim (gambar kecil) yang merupakan bekas murid STAR dari 1972 hingga 1977 ternyata telah membawa perubahan besar sejak beliau berkhidmat di sekolah tersebut.

Jelasnya, langkah pertama yang diambil sewaktu berpindah ke STAR adalah beliau menyedari bahawa Alumni STAR iaitu Persatuan Old Boys Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAROBA) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mampu memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan murid dan insfrastruktur sekolah.

Menurut anak jati Teluk Intan itu, beliau mengambil anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu penglibatan pihak Alumni dan PIBG untuk menyumbang terutamanya dari aspek kewangan kepada sekolah.

“Melalui pendekatan ini, saya dapat mengumpulkan mereka yang mempunyai minat untuk memajukan murid dan sekolah. PIBG dan STAROBA banyak membantu menyalurkan sumbangan kewangan untuk menaik taraf infastruktur sekolah.

“Apabila mendapat sokongan Alumni dan PIBG, saya mengenal pasti empat isu besar yang perlu diambil berat. Apabila isu ini diambil penekanan, saya menyasarkan setiap murid STAR dapat dilatih sebagai ketua yang baik, ahli sukan, umat Islam yang patuh, sekali gus dapat membentuk sahsiah seorang sarjana,” katanya ketika ditemui Gerbang Pintar di STAR baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan Alumni STAR tidak lokek untuk mengumpul dana berikutan ikatan antara bekas murid amat kuat dan mereka begitu menyayangi sekolah tersebut.

Ujarnya, empat isu yang dapat dikenal pasti di STAR iaitu sekolah tersebut belum diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan sukan ragbi yang menjadi acara tunjang sejak 60 tahun lalu tidak mencapai juara peringkat daerah.

Selain itu, katanya, isu ketiga adalah 33 peratus guru di STAR merupakan guru baharu lepasan universiti dan keempat, prasarana sekolah yang tidak ceria.

Menurut Abdul Hashim, pihaknya berupaya mengatasi masalah tersebut dengan sokongan dan penglibatan STAROBA serta PIBG yang banyak membantu pihak sekolah mencari jalan penyelesaian untuk isu tersebut.

“Kita mendapat dana yang banyak untuk memperbaiki insfrastruktur sekolah terutamanya menaik taraf surau, gelanggang bola tampar, hoki dan pembinaan Galeri Tun Hamdan bagi memperingati jasa pengetua pertama di STAR pada tahun 1957.

“Melalui pembangunan infrastruktur, STAR juga berupaya melahirkan murid yang berkepimpinan. Kita telah membina Pusat Kokurikulum dua tahun lalu yang menempatkan pelbagai kemudahan perkhemahan di dalam sekolah,” katanya.

Jelasnya, Pusat Kokurikulum yang bernilai RM200,000 itu dibina atas sumbangan Alumni dan PIBG STAR berupaya mengurangkan peruntukan pihak sekolah untuk menghantar murid menghadiri kursus di tempat lain.

Jasa yang dilakukan oleh Abdul Hashim di STAR melayakkan untuk beliau dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2013 dan pingat Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) pada tahun 2015 oleh Sultan Perak.

Menyentuh aspek jati diri murid, beliau menegaskan bahawa sistem rumah yang diperkenalkan di sekolah tersebut sejak ia ditubuhkan berupaya membentuk sahsiah murid agar lebih berdisiplin.

Ujarnya, sistem rumah itu me­nempatkan 600 murid STAR di dalam enam buah kawasan yang menjadi asrama mereka sewaktu menuntut di sekolah tersebut.

“Murid dibahagikan kepada enam buah rumah iaitu merah, kuning, biru, putih, hitam dan hijau. Melalui pembahagian rumah, lima aspek utama diambil kira untuk pemarkahan iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah, 3K (kebersihan, kesihatan dan keselamatan) dan demerit.

“Setiap aspek itu diambil kira oleh setiap murid dalam usaha untuk menjadikan rumah masing-masing sebagai juara setiap bulan. Jadi, sistem ini tidak hanya mementingkan bidang pelajaran malah ia berupaya membentuk murid yang lebih bertanggungjawab dalam pelbagai aspek,” katanya.

Abdul Hashim memberitahu, beliau bersyukur dengan penggunaan sistem rumah di sekolah tersebut yang diperkenalkan sejak dahulu kerana ia ternyata memberi kelebihan kepada­nya untuk membentuk sahsiah murid.