Ketua Setia­usaha KPM, Datuk Seri Alias Ahmad ber­kata, sebanyak 8,171 projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah PPKHAS.

Ia memberi manfaat kepada 6,697 sekolah daripada 9,051 Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Ber­asrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Setiap tahun KPM me­nerima pelbagai permohonan untuk menambah baik dan menyelenggara sekolah serta institusi pendidikan di seluruh negara dalam pelbagai aspek.

“Sekolah-sekolah dan institusi­ ini yang majoritinya berusia 20 tahun ke atas perlu ditambah baik dan diselenggara bagi memastikan sistem pem­belajaran tidak terjejas, memanjangkan jangka hayat sekolah dan mengelakkan terjadi sebarang kecelakaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Alias berkata, PPKHAS merupakan salah satu inisiatif berterusan kerajaan melalui KPM dalam menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan penambahbaikan dengan ka­edah pelaksanaan secara pesat, kos rendah dan ber­impak tinggi.

“Skop pelak­sanaan PPKHAS memfokuskan kepada penambahbaikan dan penyelenggaraan elektrik, tangki air utama, peralatan pencegahan kebakaran, rawatan anai-anai dan penambah­baikan pagar sekolah.

“Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada prosedur dan tatacara pe­rolehan khas yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan iaitu secara lantikan terus, undian, sebut harga dan secara tender terhad,” jelasnya.

Menurutnya, proses pe­ngundian merupakan pertama kali dilaksanakan oleh KPM secara serentak di 30 lokasi pengundian seluruh negara.

Ia bagi memastikan pemilihan syarikat dan kontraktor dilakukan secara terbuka, telus serta tidak menyebelahi mana-mana pihak berkepen­tingan.

“Undian kontraktor dibuat bagi projek bernilai me­lebihi RM20,000 sehingga RM100,000 menggunakan Ja­dual Kadar Harga (JKH) Bangunan/Awam serta JKH Elektrik. Lantikan kontraktor secara sebut harga juga dilaksanakan bagi projek yang bernilai melebihi RM100,000 sehingga RM500,000. Projek menyenggara tangki air di sekolah-sekolah pula dilaksanakan secara tender terhad,” katanya lagi.

Tambahnya, kehadiran wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), wakil Jabatan Audit Negara (JAN)/Bahagian Audit Dalam  KPM dalam proses pengundian tersebut me­nunjukkan bahawa prosedur pemilihan adalah sangat telus dan tidak boleh dipertikaikan.

Alias juga menegaskan ba­hawa sebanyak 11,281 kontraktor telah didaftar melalui sari­ngan awal untuk dianugerah­kan projek melalui lantikan terus, undian dan sebut harga.

“Menerusi pengundian, KPM telah membuka peluang kepada­ lebih ramai kontraktor kelas G1 untuk menyertai kerja­ pembasmian anai-anai, kerja pembaikan pagar sekolah. Sementara, untuk kerja-kerja elek­trik, peluang dibuka kepada para kontraktor kelas G1-G5 yang berkelayakan.

“Kontraktor tidak perlu menunggu berbulan-bulan ­untuk mendapatkan keputusan seperti sebelum ini kerana keputusan diumumkan segera setelah pengundian dijalankan. Ia lebih efisyen dan sa­ngat berkesan selain men­jimatkan kos,” katanya.

Pelancaran pemilihan syarikat dan kontraktor secara undian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Sri Tunjong, Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Bagi negeri Kelantan sahaja, sebanyak 483 projek telah dikenal pasti melibatkan 468 buah sekolah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 338 projek dibuat secara undian merangkumi 148 projek bagi kerja elektrik, 140 projek kerja membaiki pagar dan 50 projek untuk kerja pembasmian anai-anai manakala kerja-kerja mencegah kebakaran diberi secara lantikan terus.

Alias memberitahu, bagi memastikan PPKHAS berjaya dilaksanakan, KPM telah menugaskan pegawai-pegawai kanan untuk berhubung dengan pegawai Jabatan Pendidikan Ne­geri (JPN), Pejabat Pelajaran Da­erah (PPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau pelaksanaan projek.

“Pegawai-pegawai yang kita tugaskan akan bertindak memantau pelaksanaan projek-projek ini sehingga selesai. Pemantauan adalah secara naziran di tapak projek serta memastikan kontraktor yang dilantik mematuhi peran­cangan jadual pelaksanaan dan obligasi kontrak.

“Kita akan pastikan mereka melaksanakan projek dalam tahun ini juga kerana semua peruntukan adalah untuk tahun ini. Kita tidak akan bayar menggunakan peruntukan tahun hadapan,” katanya. Alias memberitahu, PPKHAS mampu menyumbang terhadap sektor ekonomi negara dan memberi pulangan terhadap mereka yang terlibat terutama kontraktor, pembekal dan peniaga kecil.

“Pelaksanaan PPKHAS ini akan membawa impak yang positif terhadap limpahan ekonomi, kontraktor, pembekal, peniaga-peniaga kecil dan penduduk setempat. Ke­utamaan KPM adalah untuk memastikan keselamatan dan keselesaan anak-anak yang belajar di sekolah terlibat.

“Besar harapan saya, agar kontraktor yang dipilih dapat memastikan kualiti kerja yang terbaik dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan kerana sekiranya projek dilaksanakan sekadar umpama melepaskan batuk di tangga anak-anak kita yang akan mendapat kesannya nanti,” jelasnya.