Mungkin tidak keterlaluan juga jika dikatakan bidang sukan merupakan satu industri baharu dalam menyediakan peluang kerjaya yang mampu menjamin masa hadapan.

Pencapaian atlet negara se­perti jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy, Datuk Nicol David pastinya menjadi aspirasi ramai anak muda yang ingin menjadi ahli sukan suatu hari nanti.

Meskipun hanya sebahagian kecil mampu menjadi atlet profesional dan berjaya berada di kemuncak prestasi dalam acara sukan yang diceburi, bidang ini sebenar­nya menyediakan skop kerjaya yang cukup luas untuk merangkumi aspek kejurulatihan, pengurusan dan perniagaan.

Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Mehan­der Singh berkata, objektif kementerian adalah untuk memastikan kemenjadian murid dan mencapai ke­seimbangan akademik serta kokurikulum yang mana sukan adalah salah satu daripada aspek utama.

Menurutnya, KPM sentiasa berusaha melahirkan atlet berjaya. Sehubungan itu, dalam sejarah sukan negara, sistem pendidikan merupakan saluran yang terbukti dalam penghasilan atlet berbakat dengan penganjuran pertandingan sukan pada peringkat sekolah, daerah, ne­geri dan seterusnya kebangsaan diadakan pada setiap tahun.

“Kini, semakin ramai ibu bapa yang menunjukkan minat serta memainkan peranan proaktif dalam menyokong penglibatan anak-anak dalam bidang sukan dan antara platform yang banyak menggilap bakat atlet negara ialah Sekolah Sukan Malaysia (SSM) selain Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“SSM telah mencatatkan banyak pencapaian membanggakan dan keberkesanan institusi ini terbukti dengan 22 daripada 32 atlet negara yang bertanding pada Sukan Olimpik Rio di Brazil tahun lalu adalah pelajar atau bekas pelajar SSM,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Kini terdapat lima buah SSM iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Sekolah Sukan Malaysia Sabah dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu dengan seramai 1,789 orang atlet murid seawal usia 11 tahun.

Selain pendidikan percuma ditanggung kerajaan, misalnya kos makanan antara RM28 hingga RM32 sehari bagi setiap atlet murid, pelajar SSM juga layak memohon Biasiswa Sukan pada kadar RM70 sebulan.

Menurut Mehander, pengambilan atlet murid ke SSM adalah menerusi pencalonan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan SSM selain Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan serta melalui Program Mengenalpasti Bakat.

“Pembangunan atlet merupakan satu proses jangka panjang dan setiap jenis sukan menyediakan laluan yang unik bagi atlet. Bagi acara terjun dan gimnastik misalnya, ia bermula daripada peringkat umur yang rendah iaitu sekitar 11 tahun.

“Namun, ramai pakar dan saintis sukan menyatakan pada peringkat umur 11 hingga 13 tahun adalah lebih sesuai untuk kita menggalakkan pelajar atau atlet supaya tidak fokus kepada satu-satu jenis sukan, malah mereka digalakkan untuk menyertai pelbagai jenis permainan kerana hal ini akan lebih membantu perkembangan fizikal keseluruhan (multilateral development).

“Kadang-kadang kemahiran dan ke­terampilan seseorang atlet itu hanya akan menyerlah selepas zaman persekolahan, jadi kita biasanya tidak cepat menyingkirkan pelajar sekiranya mereka tidak mencapai tahap yang diinginkan,” katanya.

Mengakui jangka hayat sebagai atlet biasanya tidak begitu panjang. Mehan­der menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab KPM untuk menyediakan atlet murid dengan ilmu dan kemahiran bagi menjamin kehidupan mereka selepas bersara sebagai atlet.

Beliau memberitahu, setiap atlet murid tidak terlepas daripada mengikuti setiap kurikulum pendidikan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

“Hasrat kami adalah mencari keseimbangan, jadi atlet tidak ketinggalan dari segi akademik. Ada masanya mereka perlu ke luar negara untuk menjalani latihan kadang-kadang hampir tiga minggu dan apabila situasi ini berlaku, kami bekerjasama dengan persatuan sukan untuk mengenal pasti guru yang boleh dibawa bersama.

“Pendekatan kedua adalah menyediakan modul pelajaran untuk dibawa bersama. Kerjasama dengan jurulatih adalah amat penting supaya atlet masih memberi tumpuan pada aspek akademik selagi mereka masih bersekolah,” katanya.

Mehander berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang kepada atlet murid SSM selepas tamat pengajian dan ada antara mereka yang memilih untuk mengikuti program prauniversiti atau memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik atau Kolej Komuniti selepas menamatkan persekolahan.

“Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada Khamis 16 Mac ini dan saya telah mengarahkan pegawai bahagian sukan supaya berada di sekolah dan kita terus lihat apa laluan yang ada berdasarkan keputusan dan minat mereka.

“Bagi atlet yang sedang mengikuti program ter­tentu bersama MSN pada ke­biasaannya mereka akan teruskan, namun ada juga pelajar yang berminat men­jadi guru atau­ bi­dang-bi­dang lain,” ujar­nya.