Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perubahan telah banyak dilakukan pada setiap peringkat sama ada dari peringkat penggubal dasar sehinggalah kepada pelaksanaan di sekolah.

“Warga pendidikan yang berpandangan futuristik harus sedar bahawa terdapat agenda yang lebih besar untuk menyediakan anak-anak kita demi masa depan mereka.

“Selain itu, sebagai pendidik kita perlu mempertingkatkan usaha untuk menambah pe­ngetahuan dan kemahiran, terutamanya dalam mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perutusan KPM 2017 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut Mahdzir berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk pengantarabangsaan pendidikan supaya dapat berada sebaris dengan sistem pendidikan terbaik dunia.

“Sehubungan itu, pihak kita telah menjalankan usaha-usaha secara menyeluruh yang melibatkan semua warga pendidikan.

“Antara langkah yang diambil adalah mewujudkan satu laluan pendidikan yang pelbagai, fleksibel dan memberi penekanan kepada Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSP),” ujarnya.

Tambah beliau, peluang pendidikan sentiasa terbuka luas untuk semua dengan mengambil kira bakat dan kecenderu­ngan murid.

“Justeru, KPM mengambil pendekatan bersepadu dengan memberikan peluang untuk ibu bapa serta anak-anak memilih laluan yang sesuai dengan kebolehan dan kecenderungan minat masing-masing.

“Selain itu, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke pe­ringkat yang lebih tinggi sentiasa terbuka melalui laluan ‘Accreditation of Prior Experiential Learning oleh Agensi Akredetasi  Malaysia (MQA),” jelasnya.

Pembelajaran Abad ke-21

Keseimbangan ilmu dan akhlak dalam pendidikan akan menyediakan generasi masa hadapan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi dan cabaran abad ke-21.

Menurut Mahdzir lagi, konsep pengajaran dan pem­belajaran (PdP) abad ke-21 menerapkan pembelajaran yang kondusif, terbuka, interaktif, menarik dan berpusatkan pelajar.

“Konsep PdP abad ke-21 amat bergantung kepada kebolehan guru bagi membimbing murid dan menerapkan kemahiran untuk mereka berjaya pada masa akan datang dengan kerjasama semua pihak dan menggunakan sumber sedia ada sepenuhnya.

“Sehubungan itu, guru tidak lagi berfungsi sebagai penyampai dan murid hanya mende­ngar seperti yang diamalkan dalam kaedah PdP abad ke-20 tetapi berperanan sebagai fasilitator atau pemudah cara serta menekankan elemen membina Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam diri pelajar,” katanya lagi.

Melalui pelaksanaan inisiatif Sekolah Transformasi juga, beliau berkata, sebanyak 100 sekolah di seluruh negara akan diperluaskan lagi pada tahun ini berbanding 100 buah sekolah pada tahun lepas.

“Kita berusaha membudayakan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di 64 buah sekolah dan setiap sekolah itu akan berkongsi kepakaran de­ngan empat sekolah berdekatan.

“Pada 2017, sebanyak 256 sekolah akan terlibat dengan penyebarluasan pembudayaan PLC mengikut Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) setiap negeri,” ujarnya.

Transformasi Institut Pendidikan Guru (IPG)

Sehubungan itu, KPM juga dalam langkah mempergiatkan usaha bagi memastikan bahawa latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) bertaraf dunia bermatlamat menyediakan guru masa hadapan bertaraf global.

Tambah Mahdzir terdapat tiga fasa yang dilakukan terhadap IPG bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak ketandusan guru-guru yang berkualiti.

“Peringkat pertama adalah pengukuhan penyampaian, di­ikuti peringkat kedua, tumpuan kepada pencapaian dan pengiktirafan nasional serta peringkat ketiga iaitu peningkatan pres­tasi dan mencapai standard global.

“Selain itu, kita harap pendidikan perguruan di negara ini dapat mencapai standard antarabangsa yang membolehkan guru-guru kita bertugas di mana-mana sahaja di peringkat global,” jelasnya.

Sorotan kejayaan 2016 KPM

Malaysia memainkan peranan penting dalam menyumbangkan idea dan amalan terbaik dalam pendidikan yang boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain, terutamanya negara dunia ketiga.

Menurut Mahdzir, negara telah melakukan perkongsian pengalaman serta membantu inisiatif transformasi pendidikan negara kurang membangun dan kepulauan kecil menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Malaysia Fund-in-Trust (MFIT).

“Peranan Malaysia pada pe­ringkat antarabangsa memang tidak boleh dipertikaikan lagi apabila negara menjadi sebagai ahli Lembaga Eksekutif UNESCO.

“Pelbagai persidangan pe­ringkat antarabangsa telah berjaya kita anjuran seperti ‘The 9th ASEAN Education Minister and the Senior Education Officials Meeting serta Asia Pacific Regional Forum on Early Childhood Care and Education,” katanya lagi.

Tambah beliau, KPM juga turut me­nerima kunjungan daripada delegasi luar negara yang ingin mengetahui dengan lebih dekat usaha transformasi pendidikan negara ini.

“Antaranya adalah kunjungan daripada Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) Jepun; lawatan Menteri Pendidikan Arab Saudi; lawatan kerja Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam serta banyak lagi dari negara luar ke KPM.

“Selain itu, perkongsian amalan terbaik dan pengalaman juga membuktikan bahawa usaha kita memartabatkan pendidikan diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, kejayaan guru juga merupakan pencapaian terbaik KPM pada tahun lepas.

“Saya berasa amat teruja apabila Cikgu Mohd. Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional Ke­ningau, Sabah berjaya ke peringkat akhir Anugerah ‘Global Teacher Prize’ di Dubai pada Mac depan.

“Beliau yang berasal dari Kota Belud, Sabah telah disenarai pendek daripada 20,000 pencalonan guru dari 179 buah negara,” jelasnya.

Menjelas lanjut Mahdzir berkata, semangat gigih dan kental guru amat wajar dicontohi terutamanya dalam menghadapi cabaran mendidik pelajar di luar bandar yang majoriti terdiri daripada keluarga berstatus sosioekonomi rendah dan kekurangan pendedahan tentang dunia luar.

“Berkat kesabaran, ketabahan dan bersikap positif, beliau akhirnya berjaya mentransformasi sekolah ke fasa baharu apabila terpilih menyertai dan mendominasi pertandingan bahasa Inggeris serta keusahawanan dan inovasi,” katanya tentang guru yang mendapat pengiktirafan pemenang global Guru Di Hatiku dan memenangi biasiswa Macmillan ke United Kingdom itu.