Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Rashidah Md. Arif berkata, sehingga kini sebanyak 555 buah sekolah di seluruh negara telah diiktiraf sebagai SKK mengikut tiga kluster yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, sekiranya terus cemerlang, SKK yang terpilih jika layak boleh  mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri, unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan.

“Pada setiap tahun, kementerian mempunyai matlamat untuk meningkatkan bilangan SKK supaya dapat dijadikan penanda aras kepada sekolah lain dan sehingga kini, 555 buah sekolah telah diiktiraf sebagai SKK dalam 10 fasa dan 140 dari­padanya juga sudah diiktiraf sebagai SBT.

“Calon SKK terdiri daripada sekolah rendah dan menengah yang mematuhi syarat minimum akademik mengikut kluster dan bebas daripada audit kewangan berteguran dalam tempoh tiga tahun berturut-turut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rashidah, SKK terbahagi kepada tiga kluster iaitu Kluster A terdiri daripada sekolah rendah premier dan sekolah kebangsaan mission, manakala bagi sekolah mene­ngah pula melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sekolah menengah harian, sekolah menengah harian 100 tahun, sekolah menengah harian mission dan sekolah menengah harian conforming.

“Kluster B pula terdiri daripada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Model Khas.

Sekolah menengah pula terdiri daripada sekolah menengah harian, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Agama Bantuan­ Kerajaan dan Sekolah Model Khas.

“Kluster C pula melibatkan sekolah rendah di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), luar bandar, pedalaman, Orang Asli, sekolah kurang murid, sekolah pendidikan khas, manakala sekolah menengah melibatkan sekolah di kawasan Felda, luar bandar, pedalaman, sekolah sukan, sekolah seni, sekolah pendidikan khas dan Kolej Vokasional (KV),” katanya.

Beliau berkata, matlamat utama pengiktirafan sebagai SKK adalah untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan negara selain membangunkan sekolah tersebut agar diteladani oleh sekolah bagi kelompok yang sama serta menjadi contoh di peringkat antarabangsa.

“Sekolah yang terpilih sebagai SKK perlu dipimpin dan ditadbir oleh guru besar atau pengetua cemerlang dalam peranan dan tanggungjawab yang dapat melonjakkan kecemerlangan sekolah mereka. Antara peranan dan tanggungjawab itu adalah menyediakan permohonan untuk cadangan (RFP).

“Bagi mendapatkan peruntukan khas yang diberikan kepada SKK pula, sekolah perlu menyediakan satu kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan. Dengan peruntukan tersebut sekolah dapat melonjakkan kebitaraan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rashidah berkata, pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan sentiasa memantau prestasi sekolah-sekolah di seluruh negara bagi membolehkan pencalonan untuk pemilihan sebagai SKK.

“Kita memberi peluang sama rata untuk semua sekolah di seluruh negara dan sekarang ini, saya nampak banyak sekolah sedang berusaha merebut peluang untuk mencapai taraf itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pencapaian SKK, Rashidah berkata, secara keseluruhannya, SKK telah menunjukkan peningkatan dalam pelbagai bidang dan perkara itu terbukti melalui pencapaian prestasi sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.