Akhbar harian bersaiz kompak ini mengandungi 64 muka surat dan menggunakan slogan Suara Kontemporari.

Ruangan berita Kosmo! meliputi berita semasa, ekonomi, antarabangsa dan sukan.

Seksyen rencana dan hiburan pula melengkapkan konsep ‘Majalah Dalam Akhbar’ sejak hari pertama Kosmo! dilancarkan 13 tahun lalu.

Sisipan rencana dikenali sebagai Kosmo! 2 manakala Hab-Hib untuk sisipan hiburan.

Kosmo! juga menampilkan sisipan dengan tema yang berbeza-beza pada setiap hari.

Antara sisipan tersebut ialah Stailo dengan tagline Fesyen, Gaya, Kecantikan; Infiniti (Inovasi, Sains, Gajet), Horizon (Hiburan Hujung Minggu), Pesona (Wanita, Keluarga, Kesihatan) dan Gen-K (Ekspresi Generasi Kota).

Sejak tahun 2015, Kosmo! dinobatkan sebagai akhbar harian berbahasa Melayu No. 1 di Malaysia oleh Audit Bureau of Circulations (ABC).

Sepanjang sejarahnya, Kosmo! mengalami pelbagai transformasi termasuk menerokai media digital apabila memperkenalkan Kosmo! Online dan terbaharu, TVKosmo! yang dilancarkan pada 17 November 2017.

 

Sejarah

Terbitan pertama Kosmo! menemui pembaca pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2004. Akhbar Kosmo! dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Majlis pelancaran berlangsung di kilang percetakan Kumpulan Utusan di Bangi, Selangor.

Pada awal penerbitannya, kakitangan Kosmo! dan Kosmo! Ahad hanya beroperasi di ibu pejabat di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, selepas mendapat sambutan menggalakkan, akhbar ini melebarkan sayapnya dengan membuka pejabat biro di negeri-negeri.

Pejabat biro Kosmo! pertama dibuka di Pulau Pinang pada 12 September 2005 diikuti Biro Johor (12 Februari 2006), Negeri Sembilan (26 Mac 2006), Terengganu (18 April 2006), Kelantan (16 Mei 2006), Kedah, Perlis dan Perak (2 Ogos 2006) dan Melaka (5 November 2006).

Diterbitkan di bawah syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Kosmo! menyasarkan golongan generasi muda yang kontemporari, moden dan aktif dalam kehidupan seharian dengan menampilkan konsep akhbar harian dan majalah.

Dalam usaha mencapai kejayaan seperti hari ini, banyak cabaran telah dilalui termasuk untuk membangunkan karakter dan identiti akhbar bagi menjadikan Kosmo! berbeza serta lebih hebat.

Antara anugerah dan kejayaan yang pernah dicapai Kosmo! termasuklah dua kali Hadiah Kajai Anugerah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas tahun 2004 dan 2006, Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Dokumentari Video Terbaik 2017 dan Anugerah Akhbar Pengguna Terbaik 2006.