Sepanjang tempoh itu, ramai dalam kalangan kita akan bersembang topik yang sama mengenai pasukan pilihan masing-masing setiap hari dengan membandingkan kelebihan para pemain yang mewakili negara bertanding.

Biarpun ada pasukan yang kita sokong tewas pada pusingan peringkat kumpulan lagi, namun ia tidak bermakna kehangatan memberikan sokongan kepada pasukan lain itu lenyap.

Penulis yakin ada dalam kalangan kita yang belum sempat menyarung jersi yang dibeli gara-gara pasukan pilihan terpaksa ‘bungkus’ awal dek ke-rana gagal mempamerkan prestasi terbaik dalam kejohanan kali ini.

Pun begitu, melihat rakan-rakan yang bersorak gembira apabila pasukan yang disokong layak ke perlawanan kalah mati, sebelum berentap hingga ke final malam tadi sudah cukup untuk membuatkan kita turut gembira.

Bola sepak Piala Dunia sememangnya mempunyai bahasanya yang tersendiri di mana semua dalam kalangan kita pasti faham apabila jeritan GOLLL! dilaungkan ketika pemain melakukan jaringan.

Tak kira agama, bangsa mahupun latar belakang dari negara mana sekalipun kita boleh duduk semeja sambil menyaksikan 90 minit perlawanan berlangsung tanpa sebarang masalah.

Mereka yang kali pertama menjinakkan diri dalam kancah menjadi penonton turut kagum dengan suasana di setiap tempat yang menyediakan kemudahan skrin layar gergasi.

Sorakan demi sorakan, jeritan kemenangan dan kehampaan menjadi asam garam setiap kita apabila menyaksikan debaran perlawanan sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Apa jua keadaan perlawanan itu, kita berpeluang bergurau senda dengan rakan-rakan tanpa bermasam muka dan tetap menjalinkan hubungan persahabatan dengan baik.

Suka duka sepanjang perlawanan secara tidak langsung merapatkan kita sesama rakan dan ia boleh membuatkan seseorang yang selama ini dianggap pendiam bersuara untuk pasukan pilihannya.

Biarpun ada dalam kalangan kita tidak berpeluang melihat pasukan pilihan memegang trofi Piala Dunia untuk kali ini tidak bermakna pada kejohanan yang sama empat tahun lagi kegagalan sama akan berulang.

Sokongan kepada pasukan pilihan tetap utuh sama ada mereka kecundang di tangan pasukan bukan pilihan sekalipun kerana setiap perlawanan pasti akan ada kalah dan menang.

Piala Dunia 2018 pasti akan menjadi kenangan buat semua pasukan yang bertanding terutama mereka yang gagal seawal peringkat kumpulan lagi.

Buat para penyokong biarpun ada yang pulang hampa dan marah kepada pasukan mereka setelah gagal, namun kesedihan tersebut akan terubat sendiri untuk kejohanan akan datang.

Penyokong tetap akan tetap setia bersama pasukan pilihan masing-masing biarpun mempamerkan prestasi terburuk kerana setiap orang pasti akan ada pasang dan surutnya begitu juga dalam perlawanan bola sepak.

Akhir kata, kita jumpa lagi pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 di Qatar yang merupakan edisi ke-22 kejohanan berprestij dunia itu.