Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Fike berkata, sehingga suku ketiga 2017, syarikat itu memegang sebanyak 4.54 peratus bahagian pasaran dan berlandaskan strategi-strategi yang digariskan, ia mampu berkembang kukuh pada masa akan datang.

“Matlamat utama kami adalah untuk menyediakan lebih banyak perlindu­ngan insurans kepada rakyat Malaysia memandangkan kadar penembusan liputan insurans masih rendah.

“Justeru, Zurich General Insurance akan terus mengintai peluang dalam usaha untuk memperluaskan saluran pengedaran produk, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.

Beliau berkata de­mikian ketika ditemui pada majlis pelancaran perlin­dungan Kemalangan Diri Mesra dengan kerjasama Petronas Dagangan Bhd. (Pe­tronas Dagangan) dan Shieldcard Hol­dings Sdn. Bhd. (Shieldcard) di sini baru-baru ini.

Fike berkata, Zurich General Insurance pada tahun ini me­nyasarkan untuk mencapai pertumbuhan empat ke lima kali lebih tinggi daripada kadar industri pada ketika ini iaitu kira-kira satu peratus.

“Selain peluasan dan pengurusan saluran edaran yang le­bih berkesan, kami merancang untuk menjalin lebih ba­nyak kerjasama strategik de­ngan syarikat-syarikat lain serta mewujudkan produk insurans yang mampu milik di pasaran.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai prestasi bagi segmen takaful, Fike berkata, dengan kadar pertumbuhannya yang lebih pantas berbanding segmen konvensional, syarikat itu menjangkakan mampu mencapai pertumbuhan dua digit bagi perniagaan tersebut pada tahun ini.

“Sasaran itu akan dipacu oleh kelebihan perniagaan takaful itu sendiri, di mana ia kurang persaingan, unik, patuh syariah serta mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan yang mampan,” jelasnya.

Sebelum ini, Zurich Insu­rance Malaysia Bhd. telah memindahkan perniagaan insu­rans amnya kepada entiti yang baru ditubuhkan iaitu Zurich General Insu­rance berkuat kuasa 1 Januari 2018.